Monday 21 January 2013

Syair Maulidun Nabi Muhammad SalAllah Hu Alaihiwasallam
 nukilan Sayyidi Al Marhum Raja Ali Haji


Saudara serta saudari,Ini Kisah Maulidun Nabi,Di karang ianya Pujangga Pertiwi,Sayyidi Al Marhum Raja Ali Haji.

......................................

SYAIR SINAR GEMALA MESTIKA ALAM صلى الله عليه وسلم

BismILLAHir RAHMANir RAHIM

Bismillah permulaan kalam
alHamdulillah Tuhan Seru Alam
Salawatkan Nabi Sayyid al-Anam
Serta Keluarganya Sahabat yang Ikram.

Wa ba’adahu kemudian daripada itu
Fakir mengarang syair suatu
Kepada Allah mintak perbantu
Menyudahkan maulud Nabi yang Ratu.

Nabi Muhammad Rasul yang Mulia
Ialah Penghulu Segala Dunia
Barang siapa berimankan dia
Dunia akhirat mendapat bahagia.

Bangsa Quraisy yang Utama
Ayahandanya Abdullah bernama
Bondanya Aminah nama selama
Binti al-Wahhab yang saksama.

Masa ia mengandung Nabi Allah
Tiadalah berat tiadalah lelah
Di dalam Makkata syarrafatULLAH
Beberapa tanda kemuliaan terjumlah.

Tatkala bondanya mengandungnya
Ringan dan senang tiada sakitnya
Pada satu masa waktunya
Antara jaga dengan tidurnya.

Datanglah malaikat memberi khabar
Kepada bondanya Aminah Mu’tabar
Engkau ini buntingkan Sayyid al-Basyar
Nabi yang Mulia yang Amat Besar.

Tatkala hampir akan bulannya
Datanglah malaikat mengajarnya
Beberapa jampi dengan serapahnya
Memeliharakan daripada kejahatan seterunya.

Pada awal bulan pertama
Bermimpilah Aminah Perempuan Utama
Nabi Allah Adam datang menjelma
Berkatalah ia bersama-sama.

Katanya, “Hai Aminah yang Mulia
Engkau buntingkan Penghulu Dunia
Beranakkan dia tiada sia-sia
Dunia akhirat mendapat bahagia.”

Bulan kedua bermimpilah serta
Nabi Allah Idris memberi berita
Kepada Aminah ia berkata,
“Engkau buntingkan Junjungan Mahkota.”

Bulan ketiga dikata orang
Nabi Allah Noh datang seorang
Barkhabarlah ia dengan yang terang
Nabi dibuntingkan futuh berperang.

Bulan yang keempat tahun Fil
Datang kepadanya Ibrahim al-Khalil
Berkhabar kepadanya sir dan qalil
“Engkau buntingkan Nabi yang Jalil”

Bulan yang kelima khabar yang tentu
Nabi Allah Ismail datang begitu
Barkhabar juga demikian itu
Akan kelebihan Nabi yang Ratu.

Apabila sampai bulan yang enam
Nabi Allah Musa alaihi al-Salam
Datang berkhabar di dalam manam
Kelebihan Nabi Sayyid al-Anam.

Bulan yang ketujuh pula dikata
Nabi Allah Daud datanglah serta
Kepada Aminah memberi warta
Kelebihan Nabi alam semesta.

Bulan kedelapan Nabi Sulaiman
Datang dengan kesukaan aman
Memberi khabar yang keterangan
Buntingkan Nabi akhir al-zaman.

Bulan Sembilan tidak selisih
Datang kepadanya Isa al-Masih
Ia berkata, “Hai Kekasih,
Engkau buntingkan Nabi yang Fasih.

Segala Nabi yang tersebut itu
Memberilah ia khabar yang tertentu
Apabila diperanakkan Matahari Perbantu
Namakan MUHAMMAD demikian itu.

Allahumma salli wa sallim alaihi

Fasal 1 
Malam Isnin dua belas harinya
Dahulu sedikit daripada fajarnya
Masa diperanakkan oleh bondanya
Beberapa mu’jizat zahir padanya.

Setengah daripadanya Irhas Ikram
Menerangai cahaya tempat-tempat yang kelam
Masyriq dan maghrib tempat yang balam
Teranglah Cahaya Sayyid al-Anam.

Sesetengah daripadanya Irhas ter A’la
Habis tersungkur segala berhala
Yang disembah oleh kafir yang cela
Ibadatnya batal tiada pahala.

Sesetengah daripadanya hairan kira-kira
Bergoncang mahligai singgahsana Kisra
Terkejut atasnya hulubalang tentera
Lenyaplah akal budi bicara.

Padamlah api yang disembah kuffar
Masa diperanakkan Sayyid al-Basyar
Beberapa lagi Irhas yang besar-besar
Di dalam berzanji berpanjangan khabar.

Dihiasi syurga pada malamnya
Menyerulah segala kainat padanya
Masyriq dan maghrib tiap-tiap pihaknya
Ahlan Wa Sahlan perkataannya.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Fasal 2
Sifat diperanakkan Nabi kita
Terkerat pusat bercelak mata
Terkhatan memang khabar yang nyata
Dengan kudrat Tuhan semesta.

Beberapa lagi khabar yang sah
Tatkala dibuntingkan bondanya Aminah
Segala Anbiya’ memberi Bisyarah
Kepada bondanya memberi Isyarah.

Masa diperanakkan Junjungan Alam
Hadirlah sertanya Asiah dan Maryam
Serta Bidadari Syurga yang Ikram
Datang memuliakan Nabi yang A’zam.

Itulah Nabi yang Ajaib
Bin Abdullah bin Abdul Muttalib
Bin Hasyim Bilarib…
Bin Abdu Manaf laqa’ib.

Nama yang betul al-Mughirah
Bin Qusai bin Hakam bin Murrah
Bin Kaab bin Luai Masyhurah
Bin Ghalib bin Fihrin bin Qurasyiyyah.

Keturunan daripada Nabi Allah Ismail
Bin Nabi Allah Ibrahim al-Khalil
Nabi kekasihnya Rabbuna al-Jalil
Dunia akhirat ialah Zalil.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Fasal 3
Wafat dahulu Ayah Bondanya
Tinggalkan ia dengan yatimnya
Tinggal mama’ nya memeliharakannya
Kata orang Abu Talib namanya.

Menyusukan ia beberapa Jariyah
Perempuan yang baik-baik Sahibul ‘Affah
Setengah daripadanya Tsuwaibatul Aslamiah
Setengah daripadanya Halimatus Sa’adiyyah.

Mama’nya memeliharakan bersungguh-sungguh
Makan dan minum ialah yang merangkuh
Seumpama menatang minyak yang penuh
Kerana ia orang tua senonoh.

Masa kecilnya beberapa ‘Ajaibiyyah
Irhas yang nyata Mukhalafil ‘Adah
Dipayungkan oleh awan yang rendah
Beberapa lagi Ajaib yang Indah.

Seperti tersebut di dalam sirah
Memberi salam setengah Hajarah
Susu yang hampa jadi mencurah
Tiadalah payah lagi diperah.

Ajaib manusia pada masanya
Melihatkan berbagai macamnya
Di dalam Mekah beberapa zamannya
Tiada pernah seumpamanya.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Fasal 4
Umurnya sampai dua belas ‘am
Dibawa Mama’nya ke negeri Syam
Pergi berniaga dagangan bermacam
Berjual beli siang dan malam.

Seorang Ulama’ Rahib yang Ihsan
Dikenalnya Nabi Akhir az-Zaman
Ia pun terkejut serta hairan
Keluarlah tuturnya tiada tertahan.

Aku melihat Rasul yang Mulia
Jadi Penghulu Sekalian Dunia
Taurat dan Injil menyebutkan dia
Sifat Nubuwwahnya nyata sedia.

Kayu dan batu sujud baginya
Khataman Nubuwwah antara belikatnya
Apabila Mama’nya mendengar khabarnya
Ia terkejut serta takutnya.

Lalu disuruhnya hantar pulang
Takutkan fitnah Yahudi jembalang
Tiada berapa lamanya selang
Mama’nya balik ke Negeri Terbilang.

Iaitu Mekah negeri sendiri
Sampai ke Mekah berdiam diri
Memeliharakan Nabi sehari-hari
Makan dan pakai yang ugahari.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Fasal 5
Apabila sampai umurnya zamuzkah
Pergi berniaga ke negeri Basrah
Membawa modal Siti Khadijah
Perempuan yang mulia di dalam Mekah.

Serta khadamnya Maisarah namanya
Dengan Nabi disuruhkannya
Serta beberapa kafilah sertanya
Daripada Quraisy kaum kerabatnya.

Apabila sampai ke negeri Basrah
Berhentilah Nabi pada satu arah
Bertentangan dengan suatu Sauma’ah
Bagi pendeta Nasraniyyah.

Namanya Datuk Nastur Nasrani
Dikenalnya Nabi Habib ar-Rahmani
Sebab beberapa pertandaan seni
Daripada Irhas Tuhan Rabbani.

Bersandar kepada kayu hamparnya
Sudah tersebut di dalam Kitabnya
Tiadalah lain daripadanya
Melainkan Nabi juga mustahilnya.

Dia pun datang mehormatkan
Kepada Maisarah ditanyakan
Alamat di mata di zahirkan
Maisarah mengata ia bahkan.

Apabila selesai daripada hal
Berbalik ke Mekah Nabi yang Akmal
Serta kaumnya berambal-ambal
Serta keuntungan daripada modal.

Sekira-kira negeri Mekah dekat
Zahirlah pula Irhas Dahsyat
Siti Khadijah ada melihat
Nabi dinaungi dua orang malaikat.

Apabila tiba Nabi yang Syuhada
Berjumpalah dengan Siti yang Muda
Berkhabarkan dagangan untung berganda
Siti pun suka di dalam dada.

Datanglah Hidayat yang Akbar
Daripada Tuhan Ilahi al-Jabbar
Kepada Khadijah perempuan Akhyar
Jatuhlah hatinya dengan sebentar.

Hendak bersuamikan Nabi yang Muda
Kerana ada kelebihannya ada
Mu’jizat dan Irhas berapa tanda
Perkhabaran Maisarah sudah memada.

Kepada Rasulullah dikhabarkannya
Barang yang maksud kepada hatinya
Bersuamikan jua kehendaknya
Rih al-Iman sudah diciumnya.

Selesailah Nabi mendengarkan peri
Berangkat balik ke rumah sendiri
Segala mama’nya kanan dan kiri
Berkhabarlah Nabi akan hal diri.

Hendak beristerikan perempuan yang elok
Di dalam Mekah tiadalah tolok
Siti Khadijah Hasanal Khalaq
Mulianya seumpama intan dan luk-luk.

Gemarlah segala mama’nya tuan
Kerana Khadijah setinggi-tinggi perempuan
Di dalam bangsa Quraisy sekalian
Bangsa dan rupa serta rupawan.

Pergilah Abu Talib serta mama’
Meminang Khadijah perempuan ternama
Kepada walinya yang utama
Tiada tertahan lalu berterima.

Sudah selesai demikian itu
Nikah kahwinlah serta bersatu
Duduklah keduanya beberapa waktu
Dapatlah anak satu ke satu.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Fasal 6
Tatkala sampai umur empat puluh
Dibangkitkan Allah jadi Pesuruh
Mendirikan Ugama yang Teguh
Segala ugama habislah runtuh.

Tiadalah diterima Ilah al-Alam
Lain daripada Ugama Islam
Dimulai dengan Rait al-Manam
Seperti cahaya falak al-subuh al-ikram.

Hikmatnya jangan ia terperanjat
Akan melihat Malaikat yang Hebat
Iaitu Jibril Malaikat yang Kuat
Jadi suruhan Rabbul Kainat.

Kemudian daripada itu halnya
Menjauhkan diri daripada kampungnya
Suka bersunyi seorang dirinya
Di Bukit Hira’ konon khabarnya.

Bagi Bukhari punya perkataan
Di Jabal Hira’ kira-kira sebulan
Ibnu Ishak pada bulan Ramadan
Keduanya itu riwayat handalan.

Pada malam tujuh belas Lailatil Qadriyyah
Melaikat Jibrail pun datanglah
Katanya “Iqra” makna “Bacalah”
Jawab Nabi yang dibaca “Apalah”

Dipeluk Jibrail serta dipicitnya
Katanya “Iqra” dengan sesungguhnya
Dijawab bagaimana bacaannya
Dipeluk Jibrail serta diajarnya.

Katanya “Iqra’ Bismi Rabbuka”
Membacalah Nabi tiada leka
Kemudian daripada itu beberapa ketika
Kata setengah pula dua bulan ketiga.

Kemudian Jibrail datang semula
Membawa firman Allah Taala
“Ya Ayyuhal Muddatstsir” dibacakan pula
Kemudian lain Quran Mulia.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Fasal 7
Nabi pun berhadap kepada kaumnya
Membawa firman amar nahinya
Kebanyakan Quraisy mendustakannya
Melainkan Abu Bakar membenarkannya.

Setengah Quraisy membenarkannya
Ke mana-mana yang terdahulu pada azalnya
Membenarkannya bersungguh hatinya
Tiadalah takut atau gentarnya.

Seperti Ali Karramallahu Wajhah
Dan perempuannya Siti Khadijah
Dan Zaid Ibnu al-Hari al-Haritsah
Demikian Bilal Ibnu ar-Rabbah.

Kemudian Utsman dan Talhah
Dan Saad dan Said kedua bertuah
Dan Ibni ‘Auf Ibnu as-Safiah
Dan lain daripada Quraisyiyyah.

Dan lain mana-mana untung janji
Masuklah ia Ugama Terpuji
Ditinggalkannya ugama yang keji
Mengikut Ugama Sahib ul-Faraji.

Mana-mana yang disesatkan Allah
Seperti Abu Jahal laknatullah
Akan Nabi didustakanlah
Jadilah syaitan seteru Allah.

Nabi sebagai juga menyeru
Tiada dipedulikan bapa dan ibu
Tiadalah takut langgar dan serbu
Seumpama tetap kota dan kubu.

Adapun akan Ugamanya itu
Menyembah Allah Tuhan yang Satu
Meninggalkan menyembah kayu dan batu
Serta bersahabat syaitan dan hantu.

Serta dilarang pekerjaan jahat
Mukah dan zinah judi dan madat
Zalim takbur pekerjaan laknat
Rampas dan samun sebesar-besar maksiat.

Lain daripada itu beberapa pula
Suruh dan larang Allah Taala
Di dalam Quran ‘Azza wa Jalla
Perintahan yang baik tiada cela.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Fasal Akhir
Apabila dizahirkan olehnya Nabi
Ugama Islam yang Terpuji
Mendustakan kaumnya Ahli al-Makkiy
Menyakiti dengan sumpah dan maki.

Tiada diendahkan Nabi Muhammad
Bersungguh-sungguh juga mengajar ummat
Melepaskan daripadanya kufur dholalat
Di negeri akhirat bolehlah selamat.

Tiadalah mereka itu mengendahkan dia
Diperbuatnya juga perbuatan sia-sia
Menyakitkan Nabi beberapa bahaya
Sampai dilontarnya Nabi yang Mulia.

Di dalam hal yang demikian itu
Diperintahkan oleh Tuhan yang Satu
Mikhraj ke langit khabar yang tentu
Mu’jizat yang besar demikian itu.

Segala kainat diperlihatkan
Arwah al-Anbiya dipertemukan
Syurga neraka diperjalankan
Sembahyang lima waktu difardhukan.

Turun dari Mikhraj Nabi bercetera
Kepada segala kaumnya Quraisy perwira
Ada yang mendustakan ada yang menggera
Ada yang murtad tidak berkira.

Apabila mati Abu Talib mama’nya
Serta Khadijah isterinya
Kesakitanlah Muslimin sekaliannya
Beberapa kesusahan ditanggungnya.

Di dalam tiada beberapa lama
Berpindahkan Nabi Muhammad Ternama
Ke negeri Madinah yang Utama
Di situlah bertambah keras Ugama.

Ketika itu teranglah kelam
Tampaklah tingginya Ugama Islam
Tampak kehinaan kafir yang tenggelam
Berhujah berperang mukanya hiram.

Perang Badar permulaannya
Perang Uhud kemudiannya
Perang Khandak pengiringnya
Perang Khaibar pula di belakangnya.

Tiap-tiap perang Nabi yang Mulia
Si kafir juga mendapat bahaya
Terbunuh tertawan dijadikan sahaya
Islam juga mendapat bahagia.

Sebab Nabi Rasul yang Benar
Mu’jizatnya Quran yang Amat Besar
Khabar yang Ghaib Khabar Izhar
Semuanya berbetulan dengannya khabar.

Ugama Islam kekal berdiri
Ila Akhir Yawma’i-Dahri
Mansukh sekalian ugama yang bahari
Yahudi Nasrani demikian peri.

Hingga sampai masa Khalifahnya
Mendirikan Ugama sangat teguhnya
Syam dan Rom Parsi sertanya
Dilanggar diperang dialahkannya.

Sebab berperang Ugama yang Malabih
Nabi Muhammad Lisan al-Fasih
Hatinya suci sangatlah bersih
Akan dunia tiada ia kasih.

Sifat kepujian berhimpun kepadanya
Sifat kecelaan jauh daripadanya
Hai segala kamu umatnya
Ikutlah olehmu segala jalannya.

Serta kasih akan dianya
Sukakan olehmu mendengar kisahnya
Apa lagi di bulan mauludnya
Harus dibesarkan itu waktunya.

Seperti makan minum ugahari
Jangan yang berat nyakiti diri
Menzahir kesukaan demikian peri
Kepada Ahli al-Islam Masyhuri.

Kerana di beberapa negeri yang besar
Mengerjakan maulud Sayyid al-Basyar
Tiada ada Ulama’ yang inkar
Kerana adat hasanah yang benar.

Tamatlah syair maulud ini
Bahasa Melayu di sebelah sini
Aku mukhtasarkan hai ikhwani
Kuambil waqa’ahnya sahaja begini.

Ini doa dimelayukan adanya

Ayuhai Nabi Rasul yang Mulia
Harapkan syafaat kita akan dia
Padang mahsyar berhimpun manusia
Menghakimkan kita Tuhan yang Kaya.

Ayuhai Nabi Junjunganku
Tiada lain pengharapan aku
Hanyalah Tuan Mahkotaku
Melepaskan daripada kejahatan aku.

Ayuhai Nabi kami Muhammad
Tuan hambalah Nabi kasihkan ummat
Syafaatkan kami Hari Kiamat
Daripada huru-hara yang amat azamat.

Allahumma solli wa sallim alaihi

Tamatlah syair maulud ini dikalimahkan dengan bahasa Melayu.

Tuesday 18 December 2012

SURAT TERBUKA UNTUK DYMM YANG DIPERTUAN AGONG 
DAN RAJA–RAJA MELAYU

Daulat Tuanku!

Ampun Tuanku, salah dan silap pembicaraan patek harap diampun.

Tuanku merupakan payung kepada semua orang melayu dan kaum lain yang menjunjung Tuanku sebagai raja mereka. Orang melayu di Malaysia sememangnya berpegang teguh bahawa DYMM adalah raja mereka. Orang melayu memang terkenal dengan ketaatan mereka terhadap raja-raja kerana mereka sudah turun temurun menganggap raja-raja adalah ketua mereka.

Mana-mana masyarakat yang inginkan kehidupan yang aman dan harmoni mesti mempunyai seorang ketua. Ketua kepada orang-orang melayu adalah raja-raja Melayu dan raja-raja Melayu ini hakikatnya adalah Ulul-Amri atau Amir atau juga Imam. Sebagai contoh dalam solat berjemaah, makmum mesti mengikuti setiap pergerakan imam. Apabila imam mengubah kedudukan pergerakan dalam solat, maka makmum mesti mengubah kedudukan yang sama seperti imam. Makmum tidak boleh mengubah kedudukan dalam solat mendahului imam dan sekiranya makmum mendahului imam maka solat makmum tersebut tidak dikira sebagai berjemaah bersama imam atau dalam kata lain solatnya batal.

Apabila imam melakukan kesalahan dalam solat adalah menjadi kewajipan kepada makmum untuk membetulkannya. Allah memerintahkan makmum untuk membetulkan kesalahan imam dengan cara yang berhikmah. Allah memerintahkan makmum dalam solat berjemaah supaya membetulkan atau menegur kesalahan imam dengan menyebut “Subhanallah”. Apabila kita ingin menegur kesalahan imam, niat kita menegur imam bukan niat hendak membetulkanya tetapi niat hanya kerana perintah Allah dan untuk sukakan Allah. Allah mengajar kita supaya beradab dan berhikmah apabila memberi teguran kepada Imam atau Amir kita. Hal yang sama juga, apabila ketua kita ada melakukan kesilapan, Allah memerintahkan kita sebagai rakyat dibawah naungan ketua kita untuk memberi teguran kepada mereka dengan cara yang penuh berhikmah dan beradab.

DYMM Tuanku adalah satu-satunya ketua orang melayu dan ketua kepada semua rakyat Malaysia. DYMM Tuanku telah memberi amanah kuasa untuk mentadbir negara tercinta ini kepada rakyat dan melalui sistem demokrasi, rakyat memilih ketua dikalangan rakyat sebagai wakil mereka dalam Parlimen. Ketua parti politik yang memiliki bilangan majoriti di parlimen dilantik sebagai perdana menteri. Walaupun begitu, perdana menteri bukanlah Ulul-Amri. Ulul-Amri negara ini tetap DYMM Tuanku yang mana dilantik dari Majlis Raja-Raja Melayu. Dari kalangan Raja-Raja Melayu akan dilantik salah seorang dari mereka sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang merupakan Ulul-Amri (Amir) untuk negara Malaysia.

DYMM Tuanku merupakan Amir mutlak. Dalam satu masa tidak boleh wujud dua Amir. Adalah menjadi perintah Allah supaya melantik seorang Amir untuk memerintah dan menjadi ketua dalam satu masa. Apabila wujud dua Amir dalam satu masa, maka fitnah akan timbul.

Fitnah disini memberi maksud kita akan menghadapi huru-hara dan dikalangan orang islam wujud kebencian dan sangka buruk. Orang islam akan akhirnya bunuh membunuh sesama mereka, dan tiada lagi kasih sayang dan keamanan wujud dikalangan mereka. Apabila beberapa orang islam semasa pemerintahan Khalifah Uthman r.a merancang untuk membunuhnya, Hazrat Uthman r.a telah menasihati mereka supaya tidak meneruskan rancangan mereka. Beliau juga memberi amaran sekirnya mereka tidak mahu mentaati nasihat beliau yang merupakan Amir yang sah kepada orang islam pada ketika itu tetapi sebaliknya taat kepada Amir lain maka akan berlaku huru-hara dikalangan orang islam selepas kematian beliau.

Sejarah membuktikan kebenaran kata-kata Hazrat Uthman r.a selepas kematian beliau. Selepas Hazrat Uthman r.a dibunuh, keadaan orang islam sehingga sekarang tidak lagi hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni sesama orang islam. Soalan pertama Hazrat Umar r.a bertanya kepada orang islam setelah beliau ditikam ialah siapakah yang menikam saya? Apabila orang islam memberitahunya yang menikamnya adalah orang bukan islam, beliau menjadi begitu tenang. Apabila orang islam membunuh orang islam yang lain dan orang islam yang dibunuh itu merupakan Amir kepada orang islam, kemudian fitnah akan berlaku terhadap orang islam. Orang islam tidak boleh mempunyai Amir lebih dari satu untuk memimpin mereka.

Di Malaysia ketika ini sepatutnya hanya ada seorang Amir sahaja dan Amir itu ialah DYMM Tuanku. DYMM Tuanku adalah Amir sebenar bagi negara Malaysia. DYMM Tuanku mesti mengambil alih tugas memerintah Malaysia terutamanya ketika negara berada dalam keadaan huru hara. DYMM Tuanku mesti mengambil alih tugas tersebut lebih-lebih lagi bila orang yang DYMM Tuanku lantik untuk menjalankan tugas untuk melaksanakan undang-undang dan pemerintahan gagal untuk menjalankan tugas dengan baik. Ketika berlaku kekecohan dan huru hara, adalah menjadi tanggungjawab DYMM Tuanku untuk mengembalikan keadaan negara ini menjadi aman dan harmoni.

Apabila pemimpin-pemimpin politik yang telah diberi kepercayaan oleh DYMM Tuanku gagal untuk mentadbir negara dengan baik, maka DYMM Tuanku sepatutnya mengambil alih kuasa tersebut dan baginda memerintah negara ini. Kerana berpolitik, orang melayu tidak lagi bersatu dan atas nama menegakkan keadilan di Malaysia banyak penipuan berlaku. Kebanyakan ahli politik tidak lagi jujur dalam menjadikan negara ini sebuah negara yang aman dan harmoni. Kebanyakan mereka menjadikan landasan politik sebagai alat untuk mereka mendapat kekayaan dan kekuasaan. Mereka lebih cenderung untuk menggunakan kuasa yang mereka miliki untuk mengkayakan mereka dan keluarga mereka sendiri. Terdapat sejumlah besar ahli politik sanggup menafikan hak orang melayu hanya kerana untuk meraih sokongan dari orang cina dan india. Apabila ahli politik bersungguh-sungguh menafikan hak orang melayu, ini jelas menunjukkan mereka sebenarnya dalam usaha untuk menafikan hak Tuanku sebagai raja kepada negara ini dan hak Tuanku sebagai Ketua Agama Islam yang memartabatkan agama islam sebagai agama rasmi negara ini.

Sebenarnya DYMM Tuanku dan raja-raja melayu yang memberi kepercayaan dan kuasa kepada ahli politik untuk mengurus negara ini. Kuasa mutlak untuk mentadbir negara ini hakikatnya milik DYMM Tuanku dan semua raja-raja melayu dan bukanlah milik mutlak ahli politik. Hakikatnya, kuasa dan kemuliaan adalah milik Allah dan tiada yang memiliki kuasa dan kemuliaan kecuali Allah. Mengikut ajaran islam, adalah menjadi perintah Allah dan sunnah nabi Muhammad saw ‘apabila ada tiga orang dikalangan kamu, salah seorangnya mesti menjadi Amir’. Amir diberi amanah dengan kuasa dan Amir mestilah menggunakan kuasa untuk menegakkan perintah-perintah Allah. Selagi seseorang itu yang dilantik menjadi Amir, semua arahannya yang tidak bertentangan dengan perintah Allah mestilah didengar, ditaati dan diikuti. Malaysia mestilah mempunyai Amir yang dirahmati oleh Allah SWT dan hak sebenar yang memegang status Amir negara ini ialah DYMM Tuanku. Mempunyai Amir yang buruk adalah lebih baik daripada langsung tidak memiliki Amir dan tidak sepatutnya wujud keadaan di Malaysia langsung tidak ada Amir. Jika kita tidak mempunyai Amir maka kita tidak mentaati perintah Allah dan hal ini menyebabkan Allah murka kepada kita orang islam.

Hakikatnya kuasa untuk menggubal undang-undang dan menjalankan pemerintahan di Malaysia tertakluk kepada DYMM Tuanku dan raja-raja melayu, hal ini kerana DYMM Tuanku ketua negara ini. Apabila perdana menteri yang dilantik telah gagal untuk memikul tanggungjawab yang diberikan kepadanya maka DYMM Tuanku sepatutnya mengambil alih kuasa yang diserahkan kepada perdana menteri selama ini dan DYMM Tuanku memilih perdana menteri yang lain agar undang-undang dan pemerintahan kembali dapat dilaksanakan dengan baik. DYMM Tuanku tidak semestinya menggunakan sistem demokrasi untuk memilih perdana menteri. Dalam islam, apabila tiada lagi wahyu diturunkan untuk menyelesaikan masalah manusia maka Allah memerintahkan kita agar mengadakan mesyuarat dikalangan orang yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. DYMM Tuanku boleh menggunakan mesyuarat dikalangan ahli majlis mesyuarat untuk melantik perdana menteri. Ahli majlis mesyuarat sepatutnya dari kalangan Raja-Raja Melayu dan orang yang DYMM Tuanku fikir mempunyai kelayakan untuk menjadi ahli majlis mesyuarat tersebut.

Oleh kerana DYMM Tuanku menjadi Amir atau Yang Dipertuan Agong setiap lima tahun sekali, maka perlantikan perdana menteri juga dibuat setiap lima tahun sekali. DYMM Tuanku dan Raja-Raja Melayu mesti mendepankan kesejahteraan negara, perlaksanaan undang-undang dan pemerintahan yang baik lebih utama daripada penggunaan sistem pemerintahan. Dalam sistem demokrasi, majoriti memerintah dan jika sekiranya majoriti dari kalangan orang buruk maka orang yang buruk jugalah akan dipilih menjadi perdana menteri.

Sejak merdeka sehingga kini negara kita mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan yang merupakan sistem yang dilaksanakan di negara penjajah kita. Walaupun Tuanku dijadikan Yang DiPertuan Agong atau Amir di negara ini, namun dalam  sistem Raja Berpelembagaan, Tuanku berfungsi sebagai penasihat dan tidak memiliki kuasa eksukutif mutlak. Dalam sistem Raja Berpelembagaan, peranan Tuanku selaku Amir menjadi kurang aktif dan berkuasa. Dalam sistem ini, Raja lebih kepada hanya menjadi simbol sahaja dan tidak mempunyai kuasa mutlak. Dalam sejarah islam, dua sistem pemerintahan yang diamalkan ketika pemerintahan orang islam pada zaman kegemilangan sahabat Nabi Muhammad saw. Yang pertama ialan sistem pemerintahan khalifah dan yang kedua ialah sistem pemerintahan beraja. Sejarah islam membuktikan bahawa empat orang sahabat Nabi Muhammad saw telah menjadi khalifah dan ia dikenali sebagai Pemerintahan Khulafak Rasyidin dan salah seorang sahabat Nabi Muhammad saw telah dilantik menjadi raja. Hadrat Abu Bakar r.a, Umar r.a, Uthma r.a dan Ali r.a adalah Khalifah Rasyidin dan Hadrat Miawiyah r.a adalah contoh pemerintahan beraja. Apabila orang islam terdiri daripada orang yang beriman maka sistem pemerintahan khalifah atau sistem beraja adalah sistem yang sesuai untuk dilaksanakan.

Orang islam di Malaysia akan menjadi orang yang beriman kepada Allah apabila orang islam menjalankan kerja mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan bersungguh-sungguh. Jika Malaysia ingin melaksanakan sistem pemerintahan islam, maka sistem pemerintahan beraja adalah sistem yang sesuai dilaksanakan di negara ini. Dalam sistem pemerintahan beraja ini, DYMM Tuanku selaku Yang DiPertuan Agong dan Amir kepada negara Malaysia bersama dengan ahli majlis mesyuarat yang menentukan perlantikan perdana menteri. Perdana menteri yang dilantik akan melantik menteri kabinet yang mendapat perkenan dari DYMM Tuanku. Menteri kabinet yang dilantik akan berfungsi untuk membantu perdana menteri menjalankan tugas-tugas perlaksanaan polisi dan arahan yang diputuskan oleh DYMM Tuanku.

Sistem demokrasi bukan sistem pemerintahan islam dan tidak pernah digunapakai oleh Nabi Muhammad saw, sahabat-sahabat r.hum dan orang-orang islam terdahulu. Demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang dicipta oleh orang-orang Rom kuno dan mereka merupakan orang bukan islam. Dalam sistem demokrasi, golongan majoriti akan diberi kuasa untuk memerintah  dan apabila golongan majoriti dari kalangan orang buruk, maka tidak hairanlah orang yang buruk akan berada ditampuk kekuasaan. Oleh yang demikian, Allah tidak pernah menurunkan perintahNya yang membenarkan baginda Nabi saw supaya melaksanakan pemerintahan demokrasi dan ini adalah disebabkan sistem tersebut tidak diiktiraf oleh Allah sebagai sistem pemerintahan yang sesuai dan tidak banyak memberi manfaat kepada manusia. Sistem tersebut dicipta oleh manusia dan sememangnyalah terdapat banyak kelemahan dan keburukan. Dapat dilihat banyak negara yang mengamalkan sistem demokrasi akan bertukar menjadi huru-hara menjelang pilihanraya.

Sebagai orang islam kita mesti sentiasa berusaha untuk mentaati semua perintah Allah termasuk dalam hal perlaksanaan sistem pemerintahan yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw dan sahabat r.hum. Harini, ada sebahagian negara di dunia ini tidak menggunakan sistem demokrasi sebagai sistem pemerintahan namum negara mereka masih diterima kewujudannya serta dihormati oleh negara lain di dunia. Negara China dan Saudi Arabia  sebagai contoh negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi tetapi mereka masih diterima oleh UN.

Apabila sistem pemerintahan demokrasi tidak lagi mampu untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian Malaysia, DYMM Tuanku mempunyai kuasa penuh sebagai Amir negara Malaysia dan bersama dengan semua Raja-Raja Melayu mempunyai hak dan kuasa untuk buat pilihan untuk menggunakan sistem pemerintahan islam iaitu sistem pemerintahan beraja daripada terus mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi yang diguna sekarang di negara ini. Sistem pemerintahan  islam merupakan sistem pemerintahan yang telah ditunjukkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw dan sistem ini diamalkan oleh sahabat-sahabat baginda saw dan orang islam setelah mereka.

Sistem pemerintahan islam tidak memerlukan perlaksanaan pilihanraya umum. Tanpa pilihanraya umum, Malaysia mampu menyelamatkan banyak jumlah wang dan ianya dapat digunakan untuk membantu rakyat. Melalui sistem pemerintahan islam, Negara Malaysia juga dapat diselamatkan dari jatuh ke tangan orang-orang jahat yang mahu mentadbir negara ini. Apabila negara ini melaksanakan sistem pemerintahan islam maka negara ini akan dirahmati oleh Allah SWT dengan keamanan dan kekayaan. DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu akan dikenal disisi Allah sebagai hamba Allah yang taat kerana melaksanakan sistem pemerintahan islam di negara ini. DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu akan dikenang oleh generasi akan datang sebagai orang yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pemerintahan islam setelah melalui zaman gelap semasa pemerintahan demokrasi. Apabila kita mentaati perintah Allah dengan cara yang telah ditunjuki oleh Nabi Muhammad saw, maka kita akan berjaya dalam pandangan pencipta kita, Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan memberi hidayah pentunjuk kepada DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu ke jalan yang benar yang telah dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad saw.

Saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia untuk memperingatkan DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu serta semua pemimpin politik orang melayu di negara tercinta ini dengan maksud untuk mentaati perintah Allah dan niat saya untuk sukakan Allah dan mencari keredhaan Allah sehingga saya menjadi hamba yang dicintai Allah SWT. Dengan segala keupayaan yang Allah izinkan, saya telah berusaha dengan penuh sopan dan tatasusila untuk memperingatkan DYMM Tuanku dan semua Raja-Raja Melayu serta semua pemimpin politik orang melayu. Sekiranya DYMM Tuanku tidak senang hati dengan apa yang saya kemukakan ini dan tidak menepati kehendak DYMM Tuanku, saya memohon keampunan dari Tuanku dan Allah SWT.
Daulat Tuanku !

Ampun Tuanku. Apa yang patek persembahkan harap diampun. Patek mohon mengundur diri.

Kamarul Ariffin Bin Mohd Yusup
18 Disember 2012
Shah Alam
Selangor 
Tanah Melayu
Nusantara

Takkan Islam Hilang Didunia
Takkan Ahlul Bayt Hilang Didunia
Takkan Raja Raja Melayu Hilang Didunia
Takkan Melayu Hilang Didunia.

Monday 9 April 2012

World Baitulmal VS World Zakat Organisation.

Ramai yang bertanya apa bezanya World Baitulmal dengan World Zakat Organisation.
Jawapan saya, perbezaannya adalah sangat besar. World Baitulmal ditubuhkan dengan taufik dan hidayah daripada Allah SWT untuk dijadikan sebagai rumah perbendaharaan yang akan bertanggung-jawab untuk menaungi, mentadbir dan menguruskan harta dan kekayaan ummah.

World Baitulmal juga bertanggung-jawab untuk menjaga hal-ehwal dan kebajikan ummah disamping tanggung-jawab untuk membangun dan memperkasakan ummah.

Wold Baitulmal juga akan menjadi platfom atau tapak tunggal kepada sistem kewangan dan ekonomi Islam. Dan ini secara langsung menjadi tapak kebangkitan Daulah Islamiyah dizaman ini.

Segala dasar, perancangan dan aktiviti World Baitulmal akan dipantau dan diawasi oleh World Islamic Chamber of Commerce (WICC).

Manakala World Zakat Organisation pula ditubuhkan dengan matlamat untuk mengumpul dan mengagih-agihkan wang zakat. Ianya ditubuhkan dengan inisiatif dari pemerintah-pemerintah negara-negara umat Islam.

Dari segi struktur, secara hieraki, dengan adanya World Baitulmal maka wajiblah keatas World Zakat Organisation bergabung dan bernaung dibawah World Baitulmal.
Dan wajib juga keatas World Zakat Organisation untuk menyerahkan segala kutipan wang zakat kepada World Baitulmal untuk ditadbir dan diuruskan demi kepentingan maslahat ummah diseluruh dunia.

Dengan tertubuhnya World Baitulmal, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam diseluruh dunia untuk mengikhtirafnya dan memperakuimya sebagai satu-satunya rumah perbendaharaan untuk umat Islam diseluruh dunia.

Adalah menjadi kewajipan juga kepada semua institusi-institusi kewangan Islam dan institusi-institusi kebajikan umat Islam yang ada diseluruh dunia untuk bergabung dan bernaung dibawah World Baitulmal.

Proses pengabunggan dan konsolidasi semua institusi-institusi tersebut hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera demi kepentingan dan kesejahteraan ummah.

Kewajipan ini hendaklah dipatuhi oleh seluruh umat Islam kerana ianya adalah menuruti kehendak syariah Islam. Semoga dengan segala ketaatan dan kepatuhan tersebut kita semua insyallah akan mendapat rahmat dan keredhaan dari Allah SWT.

Sekiranya ada sebarang pertikaian dan perselisihan dikalangan umat mengenai saranan-saranan yang telah dikemukakan maka hendaklah umat ini kembali kepada Al-Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak sebagai sumber hukum.

Sebarang maklum balas adalah sangat dihargai.

World Baitulmal – A single platform for Islamic Financial System

World Baitulmal ditubuhkan untuk menjadi rumah perbendaharaan dan pusat kewangan Islam sedunia. Ianya juga akan menjadi platform tunggal dan sentralisasi dalam sistem kewangan Islam.

World Baitulmal juga antara lain akan berfungsi sebagai :-

1. Badan yang akan bertanggung-jawab untuk mengelola kebajikan. pembangunan dan hal-ehwal ummah.

2. Pusat pengumpulan dan pengagihan wang zakat umat Islam sedunia.

3. Pusat pentadbiran dan pengurusan harta-harta umat Islam terutamanya harta waqaf. Ini termasuklah 3 tempat suci umat Islam iaitu, Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis. Ini kerana tiada sesiapa mahu pun mana-mana negara termasuk Arab Saudi yang mempunyai hak untuk mentadbir dan menguruskan tempat-tempat tersebut melainkan ummah. Ianya milik ummah dan wajib dikembalikan kepada ummah.

4. Bertanggung-jawab untuk memakmurkan dan mensejahterakan umat Islam dan umat manusia.

Tanpa tapak atau platform tunggal yang sesuai yang memenuhi tuntutan syarak dan kehendak Islam, sistem kewangan Islam tidak akan berjaya diwujudkan. Impian dan harapan untuk melihat kewujudan sebuah sistem kewangan tanpa pinjaman dan bebas riba akan hanya tinggal impian sahaja. Dan tanpa sistem kewangan Islam, sistem ekonomi Islam tidak akan wujud.

Begitu juga dengan impian untuk melihat emas dan perak sebagai matawang atau sebagai medium of transaction dalam sistem ekonomi dan kewangan tidak akan dapat dicapai. Tanpa mempunyai platform dan mekanisme yang sesuai ianya tidak akan dapat dilaksanakan dan diamalkan terutamanya dalam ekonomi moden yang begitu komplek dan komprehensif.

Tanpa menjadikan emas dan perak sebagai matawang tunggal dalam sistem kewangan, kita akan sentiasa dibelenggu dengan masalah spekulasi dan ketidak-stabilan nilai matawang dalam pasaran. Sebagai matawang tunggal, emas dan perak juga dapat mencegah lambakkan wang kertas yang tidak mempunyai nilai intrinsic kedalam pasaran yang bolih menyebabkan inflasi dan deflasi yang tidak terkawal dalam sistem ekonomi.

Kewujudan World Baitulmal juga adalah merupakan interpretasi kesatuan dan persatuan dalam Islam sebagaimana yang dituntut dalam Aqidah Islamiyah itu sendiri. Dan sewajarnya menjadi wadah kepada kesatuan, persatuan dan persaudaraan Islam.

Pada hari ini kesatuan dan perpaduan dikalangan umat Islam diseluruh dunia amat sukar untuk dicapai kerana wujudnya sempadan-sempadan politik dan sistem perundangan yang berbeza-beza dikalangan negara-negara umat Islam. Maka dengan lahirnya World Baitulmal adalah sewajarnya badan ini dijadikan platform kepada kesatuan dan perpaduan seluruh umat Islam.

Setelah jatuhnya Empayar Othmaniah pada tahun 1923, para penjajah barat telah membentuk dan melakar semula peta dunia. Mereka menggunakan kaedah ‘ pecah dan perintah’ (divide and rule) untuk melemahkan umat Islam dan untuk memudahkan mereka mengawal umat Islam diseluruh dunia. Maka muncullah negara-negara baru yang suatu waktu dahulu bernaung dibawah Empayar Othmaniah.

Negara-negara baru ini diwujudkan dan dibentuk dengan berasaskan kepada sistem sekuler-kapitalisme. Sistem yang mengasingkan agama dari cara hidup. Baik dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Sebuah sistem yang memuja dan mengagungkan pembangunan fizikal dan material serta mementingkan hiburan semata-mata. Ini menjadikan Islam begitu terasing daripada kehidupan ummah.

Islam adalah ‘Ad-Din’ atau cara hidup yang sempurna. Cara hidup yang diredhai dan telah dijamin kesempurnaannya oleh Allah SWT. Islam tidak sebagaimana agama-agama yang lain memiliki 3 komponen penting iaitu Aqidah, Syarak dan Akhlak yang melayakkannya untuk menjadi sebuah agama dan cara hidup yang seharusnya diikuti oleh setiap umat manusia.

Kejatuhan Empayar Othmaniah menjadi permulaan kepada zaman kegelapan umat Islam. Tanpa naungan sistem Khilafah Islam, umat Islam semakin hari semakin berpecah belah, keliru dan semakin lemah. Dan ulamak-ulamak diwaktu itu telah berfatwa ‘ mulai hari ini wajiblah keatas tiap-tiap umat Islam untuk membangunkan kembali sistem Khilafah dan Daulah Islamiyah.’

Dengan mengamalkan sistem politik demokrasi, mereka telah dikelirukan dengan bermacam-macam isme-isme dari Barat. Keliru dengan berbagai-bagai terminologi dan definasi yang sengaja diwujudkan untuk menyesatkan mereka.

Dan dengan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis pula kehidupan mereka telah dibelenggu dengan hutang-piutang. Mereka dipaksa bekerja siang dan malam hanya untuk ,melunasi hutang-hutang mereka dan memperkayakan para-para kapitalis yang menjadi tuan-tuan mereka. Mereka dididik untuk menjadi manusia yang hanya mementingkan kerjaya dan pengumpulan harta. Kesibukkan rutin harian mereka menyebabkan mereka lupa dengan tugas hakiki mereka hamba Allah dan Khalifah Allah diatas muka bumi ini. Mereka lupa dengan segala macam hubungan dan peranan sebagaimana yang telah diajar oleh Islam.

Kewujudan World Baitulmal adalah merupakan anugerah dan rahmat dari Allah SWT kepada umat manusia. Ia adalah merupakan tapak kepada kebangkitan Daulah Islamiyah. Daulah yang akan mengembalikan dan mengatur seluruh urusan kehidupan manusia kelandasan syariah Islam yang diredhai Allah SWT.

Ia juga adalah merupakan jawapan kepada segala macam krisis yang telah ditimbulkan oleh sistem ekonomi dan kewangan kapitalis.

Kepada seluruh umat Islam dan umat manusia, saya menyeru marilah kita membangunkan sebuah system ekonomi dan kewangan alternative yang bersumberkan wahyu dari yang Maha Agung dan Maha Mengetahui. Sistem yang kita amalkan pada hari ini sudah diambang kehancuran.

Kalau Amerika dan negara-negara maju yang lain juga hampir muflis dan hancur kerana mengamalkan sistem kapitalis ini apatah lagi negara-negara lain. Sebagai manusia kita diberi anugerah yang paling besar. Anugerah untuk memilih. Kenapa kita tidak memilih untuk berjalan dilandasan yang sebenarnya. Landasan yang telah diikuti oleh umat-umat yang terdahulu. Landasan yang telah terbukti mampu membawa umat manusia kepada kemakmuran dan kesejahteraan.

World Islamic Charmber of Commerce ( WICC )

Dunia diambang kehancuran. Sistem ekonomi dan kewangan kapitalis yang dianuti oleh hampir seluruh Negara didunia telah gagal. Gagal dari semua dimensi. Bermacam-macam krisis timbul. Politik, ekonomi, kewangan, sosial dan alam sekitar.
Atas kesedaran tersebut lahirlah World Islamic Charmber of Commerce atau WICC secara ringkasnya. Sebuah organisasi yang diwujudkan untuk mempromosi dan membangunkan sistem ekonomi dan kewangan Islam. WICC juga akan berperanan sebagai sebuah badan yang akan membuat dasar, peraturan dan menjadi pengawas dalam pasaran sistem ekonomi dan kewangan Islam.
Ini kerana Islam tidak mengamalkan pasaran bebas (un-regulated market) seperti yang kononnya diamalkan sekarang. Walaupun kononnya pasaran yang ada sekarang dikenali sebagai pasaran bebas namun ia tidak pernah sunyi dari campur-tangan pemerintah. Apatah lagi bebas dari monopoli, manipulasi dan eksploitasi dari golongan mereka yang berkuasa dan berpengaruh. Dan gejala-gejala inilah menyebabkan timbulnya berbagai krisis ekonomi dan kewangan. 
Olih itu sebuah badan pengawas adalah diperlukan bagi mengawasi perjalanan pasaean dan juga segala bentuk aktiviti yang dijalankan. Ini bagi mempastikan agar segala bentuk monopoli. manipulasi dan eksploitasi tidak berlaku dalam pasaran. Dengan adanya badan pengawas seperti WICC ini akan mewujudkan kestabilan dan keseimbangan dalam pasaran.
Sebuah mahkamah yang akan dikenali sebagai World Syariah Court perlu diwujudkan. Mahkamah ini perlu diwujudkan sebagai tempat untuk mencari penyelesaian sekiranya berlaku pertikaian dikalangan pemain-pemain dalam pasaran ekonomi Islam. Ini dapat mempastikan wujud keadilan dalam pasaran ekonomi Islam kerana segala pertikaian akan diadili menurut lunas-lunah syariah.
Pasaran dalam sistem ekonomi Islam dibentuk dan dibangunkan selaras dengan dasar, prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan yang telah digariskan menurut syariah Islam. Ini bagi menjamin wujudnya keadilan, keseimbangan dan kestabilan dalam pasaran.
Ini bertentangan dengan apa yang sedang berlaku dalam pasaran bebas. Pasaran ini kononnya dibentuk dan dibangunkan oleh market forces. Market forces ini yang akan menentukan segala-galanya dalam pasaran bebas. Ini termasuk harga serta permintaan dan bekalan. Namun apa yang berlaku dimana-mana sentiasa ada campur-tangan dari pemerintah bila dirasakan pemerintah perlu untuk campur-tangan demi melindungi kepentingan sesetengah pihak.
Kita lihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat, negara yang menjadi pendokong dan promoter kepada sistem ekonomi dan kewangan kapitalis. Negara yang kononnya menjunjung prinsip-prinsip amalan pasaran bebas.
Mereka sendiri turut masuk campur dalam pasaran. Sanggup membelakangkan prinsip-prinsip amalan pasaran bebas. Bahkan sanggup pula membelanjakan wang rakyat beratus-ratus billion untuk mem bail-out korporat-korporat besar mereka yang jatuh muflis akibat krisis kewangan. Kenapa mereka tidak membiarkan sahaja korporat-korporat tersebut jatuh muflis ? Bukankah apa yang sedang berlaku ini disebabkan oleh market forces ? Kenapa harus menggunakan wang rakyat untuk membela para kapitalis yang selama ini mengaut keuntungan yang berlipat ganda dari rakyat ? Dimana keadilan dan logikanya semua ini ?
Dan yang lebih melucukan lagi, kerajaan Amerika sendiri terpaksa menaikkan debt ceiling mereka supaya mereka boleh meminjam lagi bagi membiayai pembayaran faedah kepada hutang-hutang mereka. Ini dilakukan bagi mengelakkan Negara tersebut diistiharkan sebagai muflis kerana kegagalannya untuk membayar huyang Negara atau Sovereign Default. Inilah krisis yang sedang berlaku di Negara-negara Eropah seperti Greece. Ireland, Portugis dan banyak lagi yang bakal menyusul. 
Ekonomi Amerika sendiri yang kononnya ditadbir dan diuruskan oleh the best brain in the world sedang menuju kehancuran akibat menanggung hutang yang besar Mereka hamper tidak mampu untuk membayar faedah daripada hutang-hutang mereka. Itu baru faedah bukan hutang pokok. Bayangkan betapa dahsyatnya kesan dan akibat daripada hutang dan faedah ini kepada manusia. Tanpa ehsan dari negara kominis seperti China, Amerika sudah lama muflis.
Sebab itu Islam tidak menggalakkan berhutang. Apatah lagi menjadikan hutang sebagai satu bentuk perniagaan. Ianya dilarang sama sekali.Persoalannya, kemana perginya pakar-pakar ekonomi dan kewangan mereka yang selama ini sering menunjuk ajar dan mengkritik Negara-negara lain terutamanya Negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia contohnya ? Kenapa mereka tidak mampu menanggani masalah daripada sistem yang mereka cipta sendiri ? 
Dan bagaimana pula dengan CEO-CEO korporat-korporat besar mereka yang dibayar dengan gaji jutaan dollar setahun ? Kalau mereka-mereka ini hebat, terpelajar dan berpengalaman kenapa korporat-korporat yang mereka terajui dan tadbir bolih hancur dan muflis ? Mana perginya segala teori dan strategi pengurusan mereka ? Semakin dibaiki semakin besat pula masalah.
Kalau setakat jadi pemimpin korporat hanya untuk menambahkan hutang, saya fikir kita tak perlukan mereka-mereka yang berpengalaman dan berkelulusan tinggi. Bila ekonomi tengah baik sombong dan megah dengan pencapaian mereka tetapi bila ditimpa krisis melutut dan menyembah pemerintah mohom bantuan. Alasannya ini bukan kesilapan mereka tetapi kerana berlaku krisis ekonomi global. Persoalannya mengapa berlaku krisis ekonomi global ? Apakah pakar-pakar mereka tidak cukup pakar sehingga tidak mampu menjangka dan meramalkan masalah yang bakal mereka hadapi ?
Dimana silapnya semua ini ? Kerajaankah yang tidak cekap menguruskan ekonomi atau pengurusan yang tidak cekapkah atau memang sistem ini yang bermasalah dan wajar dipersalahkan ? Sia-sia bergelar pakar kalau ekonomi dinegara sendiri pun tidak mampu diurus dan ditangani dengan baik.Mungkin sudah waktunya untuk kita menilai semula sistem yang kita anuti ini. Ini kerana sistem yang kita anuti ini sudah terbukti tidak mampu mensejahterakan dan memakmurkan dunia. Malahan ia telah menghancur dan memporak-perandakan Negara-negara pengasasnya. Sistem yang tidak pernah sunyi dari berbagai krisis. Umpama sebuah kereta yang sering rosak dan sentiasa perlu diperbaiki. Tidakkah ini menjadi liabiliti terbesar dalam hidup kita. Bukankah wajar untuk kita gantikan dengan sistem yang lain.


Perlukah dipertahankan lagi sebuah sistem ekonomi yang kononnya terbaik dan hebat tapi berbillion penganutnya hidup dalam kesengsaraan ? Bahkan yang lebih malang, lagi beratus juta penganutnya sedang mengalami kebuluran diseluruh dunia akibat mengamalkan system ini.Mungkin sudah sampai waktunya untuk kita melihat dan menilai semula sistem yang kita anuti ini. Barangkali kita juga sudah sewajarnya berfikir untuk menukar sistem yang ada ini dengan sistem yang baru. Kalau di Eropah, sudah ada pemikiran yang ingin menggabungkan antara sistem ekonomi kapitalis dan sistem ekonomi sosialis. Gagasan pemikiran ini dikenali sebagai The New Way.

Walau apapun yang sedang mereka fikir dan ingin mereka laksanakan bukankah mereka masih ingin mencuba dan bereksperimen dengan teori dan idealogi manusia ? Dan mahukah kita terus disesatkan oleh golongan-golongan seperti ini dengan teori-teori dangkal mereka ? 
Bagi kita umat Islam yang bilangannya sudah menjadi 1.6 billion mengapa tidak kita memilih untuk kembali kepangkal jalan. Kembali beriman kepada Allah dan RasulNya. Bukankah sudah ada jaminan dari Allah SWT bahawa Islam itu adalah agama yang sempurna. Agama yang memiliki sistem dan peraturan hidup yang lengkap dan komprehensif. Yang diturunkan untuk dijadikan suatu cara hidup oleh umat manusia. Sistem wahyu yang telah diturinkan kepada kita oleh sang pencipta yang lebih mengetahui segala keperluan dan kemahuan serta segala kelemahan dan kekerungan kita sebagai umat manusia.
Apakah kita merasa kita lebih pandai dari Allah SWT sehingga kita berani menolak sistemNya dan mengamalkan sistem kita sendiri yang lahir daripada logik akal dan nafsu kita semata-mata ?Dengan terbentuknya WICC, saya memohon dan menyeru kepada seluruh umat Islam diseluruh dunia untuk bersatu dan bersama-sama berusaha untuk membentuk dan membangunkan sebuah sistem ekonomi dan kewangan yang baru yang bersumber dari Al-Quran dan Sunnah serta Qias dan Ijmak.
Sebuah sistem baru yang berdasarkan kepada iman dan taqwa. Yang menjunjung tinggi peradaban dan nilai-nilai kemanusian sebagaimana yang telah dicuntuhkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhamad SAW. Sebuah system yang akan meletakkan yang hak diatas tempat yang sewajarnya. Untuk apa kita pertahankan lagi sistem yang hanya menguntungkan segelintir pihak. Sedangkan majoritinya hanya menjadi mangsa kepada keserakahan nafsu para kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan sahaja. Sombong dan angkuh dengan apa yang mereka miliki. Dan apabila mereka ditimpa bencana kita juga yang terpaksa dikorbankan untuk menyelamatkan mereka. Sampai bila kita ingin diperbodoh-bodohkan oleh mereka ?
Siapakah mereka-mereka ini yang begitu istimewa sekali ? Apakah hanya kerana mereka memiliki pengaruh dan wang maka mereka wajar di istimewakan ? Sedangkan apa sahaja yang mereka miliki sudah terbukti bukanlah dari hasil kepintaran dan kemampuan mereka bahkan mereka ini hanyalah sekadar bernasib baik sahaja.Marilah kita bersatu dan berjuang bersama-sama demi kepentingan anak cucu kita dan seluruh umat manusia. Marilah kita bersama-sama kembali ke jalan Allah. Jalan yang diredhaiNya. Semuga kehidupan kita diberkati dan diredhai. Marilah kita bersatu dan berjuang diatas kalimah La ilaha ila Allah dan Muhamaddurrasulullah sebelum datangnya 4 perkara.

 Muda sebelum datangnya tua. Sehat sebelum datangnya sakit. Senang sebelum datangnya susah dan hidup sebelum datangnya mati.
Teruskan bersama blog ini. Insyaalah saya akan terus menulis dan memberikan panduan dan penerangan system ekonomi dan kewanga Islam menurut versi dan pandangan saya serta bagaimana ianya dapat dibangunkan juga melalui kaedah menurut versi dan pandangan saya yang sesuai dengan kehendak Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan cita-cita murni ini dapat kita capai dan laksanakan. Insyaallah.

"MENDAULATKAN ALLAH DAN Rasul"

Tuesday 27 March 2012

MALAYSIA GLOBAL MARCH TO JERUSALEM...

KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA DAN UMAT ISLAM KHASNYA DIHARAP DAPAT MENGHADIRKAN DIRI DALAM PROGRAM "MALAYSIA GLOBAL MARCH TO JERUSALEM" SEBAGAI SALAH SATU TANDA SOKONGAN KITA KEPADA RAKYAT PALESTINE DALAM MELAWAN PENCEROBOHAN DAN PENINDASAN YAHUDI ISRAEL TERHADAP TANAH AIR MEREKA.






"Dari Tanah Arab Islam dan Nur Muhammad itu dibawa ke Tanah Melayu...Dari Tanah Melayu Islam dan Nur Muhammad itu dibawa kembali ke Tanah Arab"
للَّهُمَّ صَلّیۓِ ۈسَلِّمْ عَلۓِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدٍ
آللَّهُمَّ صَلّیۓِ ۈسَلِّمْ عَلۓِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدٍ
آللَّهُمَّ صَلّیۓِ ۈسَلِّمْ عَلۓِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدٍ
آللَّهُمَّ صَلّیۓِ ۈسَلِّمْ عَلۓِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدٍ
آللَّهُمَّ صَلّیۓِ ۈسَلِّمْ عَلۓِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدٍ
للَّهُمَّ صَلّیۓِ ۈسَلِّمْ عَلۓِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدْ وَ عَلۓِ آلِ سَيّدِنَآ مُحَمَّدٍ