Thursday 19 January 2012

Kebangkitan Arab bukan kebangkitan Islam.

Gelombang kebangkitan rakyat di Afrika Utara dan Asia Barat menyaksikan tumbangnya satu demi satu regim yang memerintah di negara-negara tersebut. Dimulai dengan regim Ben Ali di Tunisia kemudian diikuti oleh regim Hosni Mubarak di Mesir dan yang terbaru regim Muamar Gadaffi di Libya. 


Kolonel Muamar Gadaffi seorang pemimpin yang unik dan berkarisma yang telah mewarnai dunia politik antarabangsa dengan berbagai kerenah dan kontroversi akhirnya ditangkap dan ditembak mati oleh tentera-tentera pemberontak. Jenazahnya diaibkan dan dipermalukan seolah-olah sepanjang pemerintahannya selama 42 tahun beliau tidak pernah berjasa kepada rakyat Libya. Sedangkan pada hakikatnya, jasanya cukup besar kepada rakyat Libya dan umat Islam diseluruh dunia.
Dan kemungkinan setelah ini yang bakal menyusul nanti adalah regim yang sedang memerintah di Yaman dan di Syria.


Walau apa pun sebab dan alasannya disebalik kebangkitan rakyat sehingga tumbangnya regim-regim yang dianggap diktator itu, yang pentingnya peristiwa tersebut bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW mengenai lima fasa pemerintahan yang bakal dilalui oleh umat akhir zaman ini.
Rasulullah SAW bersabda:
“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fitnah). Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman penindasan dan penzaliman (Zaman Diktator) dan berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula Zaman Kekhalifahan (Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”
(Riwayat Ahmad)

Peristiwa-peristiwa besar ini memberikan isyarat yang jelas kepada seluruh umat Islam bahawa perkataan Rasulullah itu benar. Dan janji-janji Allah itu benar.
Namun demikian, satu perkara yang perlu difahami dalam menilai peristiwa-peristiwa yang berlaku ialah kebangkitan masyarakat Arab bukanlah kebangkitan Islam. 
Kebangkitan masyarakat Arab ini tidak membawa makna yang besar kepada Islam dan seluruh umat Islam. Untuk apa pemerintah berubah kalau system pemerintahan yang dianuti tidak diubah. Sistem ekonomi dan kewangannya juga tidak berubah.


Ini kerana segala masalah yang berlaku didunia pada hari ini adalah disebabkan kerana kita menganuti system yang salah. Baik dari segi politik, ekonomi dan social.
Fahaman sekulerisme yang mengasingkan agama dari system kehidupan menjerumuskan umat manusia ke lembah kesesatan dan kehancuran. Berbagai-bagai krisis berlaku diseluruh dunia. Tidak kira sama ada krisis politik, ekonomi, kewangan, sosial mahu pun krisis alam sekitar. Sekiranya dianalisa dengan teliti dan komprehensif ianya adalah disebabkan oleh system yang dianuti. Ini kerana system yang diamalkan sekarang memberikan ruang dan peluang untuk mengeksploitasi nafsu manusia.


Oleh itu janganlah kita keliru antara kebangkitan masyarakat Arab dengan kebangkitan Islam. Ini kerana Islam tidak dibangunkan dengan pemberontakkan, rampasan kuasa atau peperangan. Bukan juga dengan jalan Demokrasi. Apatah lagi untuk membangunkan Islam dengan penguasaan ekonomi atau teknologi. Ini kerana Daulah Islamiyah itu akan hanya dapat ditegakkan dan dibangunkan dengan Iman dan Takwa. 
Hanya Islam yang dibangunkan dengan iman dan takwa sahaja yang akan dapat menyatukan umat dan mensejahterakan manusia. Dan, hanya iman dan takwa sahajalah yang dapat menterjemahkan kasih sayang Allah kepada seluruh hamba-hambaNya.


Kebangkitan Islam akan dipelopori dan dipimpin oleh sekumpulan umat yang memiliki iman dan taqwa seperti para sahabat dizaman Rasulullah SAW. Tidak cintakan dunia dan tidak takutkan mati. Matlamat mereka hanyalah satu. Untuk mencari keredhaan Allah.

Tuesday 17 January 2012

Perjuangan Sebenar Fisabilillah Umat Islam/Melayu Tanah Melayu Nusantara (2) Kembalikan Kuasa Raja Raja Melayu

Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu di Malaysia telah sampai keperingkat yang mengusarkan banyak pihak. Ramai yang berpendapat sekiranya orang Melayu terus berpecah mereka akan kehilangan kuasa politik dan kemerdekaan.

Perpecahan orang Melayu adalah disebabkan perbezaan idealogi politik. UMNO yang merupakan organisasi terbesar orang Melayu berjuang diatas landasan semangat nasionalisme Melayu-Islam dan PAS pula sebagai organisasi kedua terbesar berjuang dengan bertunjangkan orientasi Islam.

UMNO mempromosikan dasar-dasar yang tidak bertentangan dengan Islam manakala PAS pula mempromosikan dasar-dasar Islam. Perbezaan kaedah perjuangan namun ditafsirkan sebagai perbezaan aqidah oleh PAS sehingga timbul isu kafir mengkafir dan berlaku sembahyang dua imam di banyak tempat.

Kini muncul pula kelompok ketiga dalam masyarakat Melayu. Kelompok yang tidak menyokong UMNO atau PAS. Kelompok ini merasakan bahawa kedua-dua organisasi sama sahaja. Ini kerana kedua-duanya terlibat mengamalkan system demokrasi yang dilarang kerasa oleh Islam kerana sistem ini menyekutukan Allah SWT dan bolih menyebabkan orang Islam terkeluar dari aqidah Islam kerana mengamalkannya.

Kelompok ini secara mutlak menolak demokrasi dan kapitalis dan memilih pemimpin melalui sistem pilihanraya. Kelompok ini didukung oleh ramai golongan muda yang berusia dibawah 30 tahun yang dikenali sebagai generasi Y.

Melihat kepada keadaan semasa, memang benar perpecahan orang Melayu sudah sampai keperingkat kritikal. Suara-suara kebimbangan terdengar disana-sini. Begitu juga dengan suara-suara yang menyeru kepada perpaduan orang Melayu semakin berkumandang disana-sini.

Namun atas dasar apa orang Melayu perlu bersatu ? Apakah faktor yang cukup kuat yang mampu menyatu-padukan orang Melayu ?

Untuk mencari jawapannya kita perlu melihat kepada ciri-ciri yang sangat identik dengan orang Melayu. Raja-Raja Melayu, Islam, bahasa Melayu dan adat budaya Melayu. Inilah ciri-ciri orang Melayu dan ini juga faktor-faktor yang mampu mengusik sensitiviti orang Melayu.

Pada waktu ini orang Melayu telah kehilangan asas untuk bersatu. Mereka tidak mempunyai motivasi yang kuat untuk bersatu. Demokrasi telah menyebabkan mereka berpecah-belah.

Hanya ada satu sahaja jalan terbaik untuk menyatukan kembali orang Melayu. Kembalikan kuasa Raja-Raja Melayu.

Tolak demokrasi dan daulatkan kembali Raja Melayu sebagai wakil Allah SWT diatas muka bumi dan memerintah dengan syariat Islam menurut Al-Quran dan Sunnah.

Daulatkan Raja Melayu. Raja Melayu adalah ketua agama Islam. Dan Islam memiliki semua jawapan kepada setiap masalah manusia. Mendaulatkan Raja bererti kita mendaulatkan syariat Islam. Mendaulatkan syariat Islam bererti kita mendaulatkan Allah SWT.

Biarlah Raja menjadi Raja dan rakyat menjadi rakyat. Sampai bila kita ingin melihat Raja menjadi rakyat dan rakyat menjadi Raja. Untuk apa mempunyai Raja yang tidak memiliki kuasa. Berilah peluang agar Raja Melayu dapat memerintah kembali dengan syariat Islam.

Wujudkan Majlis Syura Kebangsaan sebagai badan yang melantik Raja dan bertindak sebagai penasihat Raja serta sebagai badan tertinggi pembuat hukum.

Berilah peluang kepada mereka-mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa yang tulus dan ikhlas dan yang benar-benar mempunyai keahlian dibidang masing-masing untuk menjadi perancang dan menentukan hala tuju bangsa ini.

Sudah sampai masanya bagi orang Melayu untuk melihat model pemerintahan dan model ekonomi yang berbeza bagi menjamin kelansungan atau survival bangsa ini. Sistem yang diamalkan pada hari ini hanya menguntungkan segelintir kelompok elit Melayu sahaja.
Untuk apa kita berjuang dan berkorban untuk sesuatu yang dimurkai oleh Allah SWT. Kenapa kita tidak berjuang dan berkorban untuk sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT. Sudahlah kita rugi didunia….janganlah hendaknya kita rugi pula diakhirat.

Rasuah, salah-guna kuasa, pecah amanah, pembaziran dan berbagai-bagai lagi bentuk jenayah kolar putih bukan lagi cerita baru dalam masyarakat. Ianya seakan sudah menjadi budaya dalam masyarakat. Sampai bila semua ini harus dibiarkan berterusan.

Sedarlah tentang kenyataan pada hari ini. Bangsa yang kononnya mempunyai kuasa politik dan mampu menentukan nasib dan masa depannya sendiri sedang mengemis dinegaranya sendiri. Bangsa yang kononnya pribumi dan menjadi penghuni majoriti kini merasa terancam dengan golongan minoriti.

Sudah terlalu banyak yang ditagih dari bangsa ini. Dan sudah terlalu banyak yang dikorbankan oleh bangsa ini demi mempertahankan kuasa dan demi memelihara perpaduan dan keharmonian. Apakah semua itu dihargai ?

Bangsa Melayu adalah bangsa yang berjiwa besar. Mereka mungkin tidak mengharapkan segala pengorbanan mereka dihargai. Mereka juga mungkin tidak mengharapkan segala pengorbanan mereka diberikan ganjaran. Mereka adalah bangsa yang sangat sederhana. Mereka hanya ingin hidup santai, sederhana dan aman damai.

Namun demikian, janganlah dikhianati ketulusan dan keluhuran mereka. Berikanlah peluang kepada mereka untuk mempamerkan jati diri dan potensi sebenar mereka. Sudah terbukti bahawa bangsa ini adalah bangsa yang paling akomodatif dalam dunia. Percayalah…..tidak akan ada kebangkitan dari Timur tanpa kebangkitan Melayu.

Perjuangan Sebenar Fisabilillah Umat Islam/Melayu Tanah Melayu Nusantara 1

Pada hari Selasa, 13 Disember 2011, bersamaan dengan 17 Muharam 1433 Hijrah, dengan limpahan rahmat dan kurniaan dari Allah SWT, maka mashurlah sudah ke seantero dunia akan perihal pertabalan dan perishtiharan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke 14 mengantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin. Termeterilah sudah satu peristiwa besar dalam lipatan sejarah moden bangsa Melayu dan Malaysia.

Pertabalan Tuanku Abdul Halim buat kali yang kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong membawa mesej yang signifikan kepada bangsa melayu dan seluruh umat Islam. Apatah lagi istiadat pertabalan diadakan di Istana Negara yang baru dibina.. Sesungguhnya sejarah yang dirakam pada kali ini adalah sesuatu yang diluar kebiasaan. Adalah wajar dan menarik ianya diberikan perhatian dan penilaian yang berbeza.

Menurut pendapat dan pandangan dari kacamata saya, detik bersejarah yang dirakam pada kali ini adalah menjadi petunjuk yang menandakan bermulanya zaman kebangkitan Islam buat kali yang kedua. Sepertimana kedudukan Tuanku Abdul Halim yang ditabalkan buat kali yang kedua. Kebetulan saat dan ketikanya amat sesuai dengan era kebangkitan dari Timur sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh Nabi Muhamad Rasulullah SAW 1400 tahun dahulu.

Peristiwa ini merupakan isyarat, petunjuk atau pun qias yang seharusnya difahami oleh seluruh umat Islam yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Isyarat yang seharusnya difahami dan diterjemahkan sebaik mungkin agar kita semua dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT.

Dalam displin ilmu, sebagai umat Islam yang beriman, sumber rujukan kita adalah Al-Quran, As-Sunnah, Qias dan Ijmak.

Qias disini membawa maksud isyarat dari alam dan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku disekeliling kita. Bukankah segala-galanya itu berlaku tanpa sia-sia dan mengandungi ilmu dan hikmah kepada mereka-mereka yang beriman dan mahu berfikir.
Manakala Ijmak pula adalah rumusan atau kesimpulan yang diambil berdasarkan isyarat-isyarat atau mesej daripada perubahan alam atau peristiwa yang berlaku untuk persediaan dan tindakan kita.

Sebagai contoh, apabila hari hendak hujan. Apa isyarat dari alam ? Langit mendung, bunyi guruh dan pancaran kilat. Ini fenomena yang biasa berlaku. Dan apakah rumusan atau kesimpulan yang selalunya kita ambil apabila kita melihat segala fenomena itu berlaku ? Kita pasti akan mengangkat pakaian yang ada diampaian sekiranya kita sedang menjemur pakaian atau kita akan menyediakan payung sekiranya kita hendak berjalan kemana-mana.

Dalam kontek pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Yang DiPertuan Agong dalam kontek Raja Berperlembagaan di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan institusi yang tertinggi di Malaysia. Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan pemerintah tertinggi dan ketua agama Islam di Malaysia. 
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menanggani sebarang ancaman bersama semua pihak berkuasa sedia ada. Yang di-Pertuan Agong merupakan payung yang menaungi umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

Sebarang peristiwa dan perubahan yang berlaku yang berkaitan dengan institusi yang tertinggi buat umat Islam dan negara Malaysia pasti membawa isyarat yang besar. Apatah lagi peristiwa itu berlaku dalam keadaan Negara sedang menghadapi cabaran besar sama ada dalam bidang politik mahupun ekonomi.

Pertabalan Tuanku Abdul Halim buat kali kedua adalah merupakan isyarat besar kebangkitan Islam dari Timur. Kebangkitan dari Timur yang diramalkan akan dipimpin oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayulah yang diramalkan akan bangkit untuk menerajui dan memimpin perubahan yang sedang melanda dunia. Sama ada didunia umat Islam mahupun didunia bukan umat Islam. Kedua-duanya sedang bergolak.

Didunia umat Islam pergolakannya adalah pergolakan politik. Seperti mana yang terlihat berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syiria dan Bahrain. Krisis politik yang membawa tumbangnya beberapa regim yang memerintah. Regim yang selama ini dianggap kuat dan gagah akhirnya tumbang dengan kebangkitan rakyat.
Sementara didunia umat bukan Islam pula pergolakan yang berlaku adalah akibat dari krisis ekonomi dan kewangan yang semakin hari semakin parah. Lihat sahaja apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat dan Negara-negara Eropah.

Tidak cukup dengan pergolakan politik dan krisis ekonomi, dunia dilanda pula dengan bermacam-macam bencana alam seperti tsunami, banjir, angin puting beliung dan gempa bumi dimerata tempat. Sesungguhnya dunia memang sedang mengalami perubahan.
Ada yang percaya dunia sedang diambang perang dunia ketiga dan ada juga yang percaya dunia sedang menuju kepada hari kiamat. Berbagai-bagai ramalan dan pendapat yang dibuat. Namun yang pastinya dunia sedang menghadapi perubahan. Baik dari segi politik, ekonomi mahu pun alam sekitar. Sama ada perubahan ini sedang menuju kearah yang lebih baik atau sedang menuju kehancuran hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.
Persoalannya, apakah kita hanya sekadar menyaksikan saja segala perubahan dan pergolakan yang sedang berlaku ini ? Apakah hanya sekadar berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa ? Wajarkah sikap yang sedemikian ? Atau kita harus bangkit dan bangun untuk berbuat sesuatu demi kesejahteraan semua ?

Jawapannya ada pada kita semua. Tepuk dada tanya selera. Kita sudah tidak boleh lagi menyandarkan segala harapan kepada pemimpin politik, ulamak-ulamak atau tokoh-tokoh korporat sedia ada. Mereka terlalu sibuk memikirkan kepentingan masing-masing. Mabuk dengan segala macam nikmat dunia yang sedang mereka kecapi sekarang. Masing-masing sedang tenggelam dalam khayalan dunia ciptaan mereka masing-masing.

Kita semua perlu bangkit terutamanya umat Islam/Melayu dan umat dari Timur. Sudah ditakdirkan kitalah yang perlu bangun untuk memimpin kebangkitan dari Timur. Menerajui perubahan kearah kesejahteraan sejagat. Dunia perlukan kepimpinan baru. Kepimpinan dari Timur.

Sejarah moden telah membuktikan bahawa kepimpinan dari barat telah gagal. Kepimpinan dari barat hanya membawa kepada perpecahan dan segala macam krisis. Fahaman-fahaman atau isme-isme serta sistem yang dibawa oleh mereka sudah terbukti gagal. Mereka tidak mampu menyediakan sebuah dunia yang aman dan sejahtera buat seluruh warganya.
Seluruh warga dunia sepatutnya sudah sedar bahawa kita semua adalah manusia bukan haiwan ujikaji dimakmal. Kita tidak seharusnya membiarkan diri kita menjadi bahan ujikaji dengan segala fahaman atau isme-isme yang mengelirukan kita. Yang hanya akan menjadikan kita seperti haiwan yang buas dan ganas diatas muka bumi ini.

Kita juga perlu sedar bagaimana sekulerisme, nasionalisme, patriotisme, demokrasi, kapitalisme dan berbagai isme lagi yang telah menyebabkan kita semua berpecah belah dan memusuhi antara satu sama lain. Bukankah kita semua bersaudara ? Bukankah kita semua dari bani Adam ? Keturunan Adam dan Hawa. Walau apapun bangsa kita dan warna kulit kita sekarang.

Kalau sudah begitu hakikatnya mengapa kita tidak bolih hidup aman dan harmoni sebagai satu keluarga besar ? Saling sayang menyayangi antara satu sama lain dan saling bekerja sama demi kesejahteraan kita semua.

Dunia bukan medan pertandingan atau perlumbaan. Kita tidak perlu mengalahkan sesiapa atau menyaingi sesiapa. Apa yang ingin kita buktikan dengan mengalahkan orang lain ataupun dengan menyaingi orang lain ? Siapa yang mengajar kita semua tentang semua itu ? Tidakkah kita sedar kita semua sedang diperbodoh-bodohkan ? Dan tidakkah kita sedar bahawa ada pihak yang sedang mengaut keuntungan daripada kebodohan kita itu ?
Pada hakikatnya, dunia adalah tempat untuk kita diuji kesedaran dan keinsafan tentang siapa diri kita yang sebenarnya. Diuji tentang nilai-nilai kemanusian kita. Mengapa kita tidak saling bantu-membantu untuk menjadi sebenar-benar manusia ?

Oleh itu sudah sampai masanya untuk seluruh warga dunia menilai kembali segala fahaman dan sistem yang menjadi amalan pada hari ini. Apa salahnya menoleh ke Timur. Dunia sebelah Timur yang didiami oleh bangsa Melayu, Cina dan India. Dunia yang dihuni oleh lebih daripada 2.5 billion umat. Belahan dunia yang cukup kaya dengan segala macam sumber alam. Kekayaan yang sekiranya mampu ditadbir dan diurus dengan baik mampu membawa kesejahteraan kepada seluruh warga dunia.

Namun apakah model kepimpinan yang terbaik yang mampu membawa dunia kearah perpaduan dan kesejahteraan ? Sekali lagi, apa salahnya kita semua melihat kepada model pemerintahan Islam. Model pemerintahan yang suatu waktu dahulu mampu bertahan selama lebih dari seribu tahun. Kajilah sejarahnya yang panjang itu. Berlapang dadalah dalam membuat kajian dan penilaian. Pemerintahan Islam bukan hanya sekadar untuk umat Islam tetapi untuk seluruh umat manusia.

Apa salahnya menerima kepimpinan Islam sekiranya Islam mampu membawa keadilan, keamanan dan kemakmuran kepada dunia. Bukankah itu impian semua umat manusia ? 
Adakah lagi model pemerintahan yang komprehensif dan sesempurna Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Baik dari segi politik, ekonomi, kewangan, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya. Islam terbukti tidak pernah menolak kemajuan. Ilmu sains dan teknologi berkembang pesat dalam pemerintahan Islam. Lihatlah kesan-kesan peninggalan sejarah Islam. Apakah ini semua tidak cukup membuktikan bahawa Islam lebih baik daripada semua fahaman dan model-model pemerintahan yang sedia ada ? 

Kepada seluruh warga dunia, sekali lagi bukalah minda dan berlapang dadalah terhadap Islam. Berikanlah penilaian yang adil terhadap Islam. Kenalilah Islam sebagaimana kamu mengenali diri kamu sendiri. Islam tidak pernah membeza-bezakan kamu. Tidak pernah membeza-bezakan kaum atau bangsa mahu pun warna kulit. Terimalah Islam kerana hanya Islam yang mampu membawa keadilan dan kesejahteran sejagat.

Kepada seluruh umat Islam/Melayu, kamulah sebaik-baik umat yang mampu menegakkan kembali syiar kegemilangan Islam. Kamulah bangsa yang dianugerahi dengan ketinggian pekerti, kelembutan, kesabaran dan kebijaksanaan untuk membawa kebenaran dan keadilan Islam keseluruh dunia dengan kasih sayang. Janganlah kamu khianati amanah ini. Ini amanah yang terpikul dibahu kamu semenjak azali andai kamu mengerti. Kembalilah kepada Allah dan RasulNya. Kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah agar kamu tidak terpesong terus dari jalan yang diredhaiNya.

Sedarlah wahai umat Islam/Melayu bahawa masanya sudah tiba. Bangkitlah ! Inilah perjuangan sebenar kamu. Tinggalkanlah segala perjuangan yang sia-sia. Kembalilah kepangkal jalan. Berjuanglah untuk menegakkan kembali Daulah Islamiyah. Bangkitlah dari tidurmu yang panjang. Dunia perlu kepada kepimpinanmu. Isyarat perjuangan sudah datang kepada kamu. Sambutlah dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Semoga Allah SWT merahmatimu dan memudahkanmu disepanjang perjalananmu menempuhi cabaran yang dimasa hadapan.

Wednesday 11 January 2012

RAJA HAJI FISABILLAH ALMARHUM TELUK KETAPANG (MELAKA) WASIAT BAGINDA KEPADA UMAT MELAYU SEBELUM BAGINDA SYAHID




SEGALA puji bagi Allah dan selawat salam ke atas Nabi serta keluarganya sekalian. Ke hadrat umat Melayu di seluruh dunia. Wa ba’du, maka inilah warkah daripada Raja Haji yang fakir lagi hina di depan Allah taala. Demi malaikat yang menjadi saksi, demi pena yang melarikkan wacana dan demi lembaran yang menjadi wahana. 

Ketahuilah olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah peperangan orang-orang Bugis. 

Tetapi ini adalah peperangan untuk mengembalikan maruah dan kehormatan sekalian diri orang-orang Melayu yang telah dipijak-pijak oleh penjajah Belanda laknatullah.  

Akan tetapi Belanda itu telah mencanangkan bahawa aku dan sekalian orang Bugis tidak berpuas hati dengan pengagihan hasil rampasan tembakau dari Kapal Betsy kepunyaan Perancis yang menceroboh Selat Melaka itu.  

Adapun kita adalah orang-orang Melayu yang beriman kepada Allah Taala juga menyakini bahawa peristiwa itu hanyalah asbab yang telah menyatukan orang-orang Melayu dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari Batang Tiga untuk menghambat Belanda keluar dari Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera sebelum kita berkubu di Teluk Ketapang. Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan kita dalam peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti tikus dikejar naga berkubu di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.

Yakni dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah dirampas oleh penjajah kepada orang-orang Melayu yang sudah beratus tahun membina kehidupan, membina kota dan pelabuhan di tanah air ini. 

Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan pelabuhan yang terbakar dan ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang Melayu di seluruh kampung, daerah, kota dan pelabuhan wajiblah bangun menentang dan menghalau mereka. 

"Sesungguhnya orang-orang Melayu itu bersaudara dan kita tidak akan kalah dalam mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu di jalan Allah."

 Syahadan untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia bagai mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah musuh yang nyata sama ada yang terang-terang terlihat pada mata kasar mahupun yang berselindung di sebalik hati manusia. Terbukti kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka, Pontianak, Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain.

Telah bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan persengketaan yang berlaku sesama sendiri dan mematahkan muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai, maka damailah yang kumeterai. Mana yang berkehendakkan peperangan, maka peperanganlah yang kupimpin kerana sudah dua ratus tahun lebih kita masih dijajah bahana berebutkan kuasa yang tidak habis-habisnya, saling berhasad dengki dan bersubahat dengan musuh. Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil, hasil diperas dan tubuh diperhamba.

Maka pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang tertulis. 

Warkah ini kutulis di atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan doa panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Quran di sebelah kananku. Kitab Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di pinggangku.

Sungguhpun demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh dalam selimut. Berwajah Melayu berhati Belanda. 

Usahlah ditanya bagaimana aku mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah mengkehendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun yang dapat mengelakkannya.

Biarkan sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan mengepung aku. Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada kalian. Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki Melayu yang sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya sentiasalah aku hidup di sisi Allah Taala. Matimu di medan perang ini, tandanya celakalah engkau di akhirat kelak.

Sayugia, ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi kepadaku janganlah dimungkirkan kafiat jalanku ini kerana ia akan hanya mengulangi kekhilafan malaikat apabila Allah menyatakan kehendak-Nya mahu menciptakan manusia untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi yang akan ada di kalangan manusia saling menumpahkan darah.

Janganlah kita lupa pengakuan azali kita di depan Allah. Janganlah kita melupai ilmu yang Allah ajarkan secara langsung daripada sisi-Nya kepada kita. Kerana dengan itulah kita, manusia ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan para malaikat-Nya, kata Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui daripada apa yang kamu tahu.’

Allah Maha Besar! 

Andai aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi fitnah yang tidak habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di sepanjang sejarah akan datang. Manusia Melayu munafik, pengkhianat, pendengki dan petualang akan sentiasa muncul di kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu hitam pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang. 

Akan ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan menyambung lidah Belanda menuduh aku berjuang dan berperang kerana mabukkan harta dan kuasa. Sesungguhnya moyang poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara bukanlah mahu disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan apa yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan mempunyai kehormatan diri. 

Maka Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidaklah seramai golongan munafik dan petualang. 

Mereka berani mati sehinggalah si petualang bangkit daripada sujud tatkala imam dan jemaah masih bersujud, lalu ditancamkan pisau di belakang antara mereka. Maka sesekali tidak mengundang gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka syahidah dia. Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan menjadi saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah dicam dan diberkas seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal dan Yang Akhir.

 Ketahuilah wahai saudaraku. Bahawasanya umat Melayu tidak akan sesekali ghaib daripada muka bumi ini yang Allah telah takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat dan lautan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil lagi saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah. Maka Allah mengurniakan rahmat dan berkat daripada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan semua penduduk bumi dan langit mendoakan kesejahteraan bagi segenap isi negeri.

Sesungguhnya akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah. Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan diterima sebagai penasihat ulil amri. Para ahli sufi terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup makan dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.

Syahadan, ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait. Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah perebutan, hasad, iri hati dan sengketa. Kalau rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk. Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.

Musuh yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga memancung leher.
  

Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama zaman makmur.

Maka jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah pula ujian dan balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula pengkhianatannya; apalah pula penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya.

 Segala ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap junjungan nabi kita ketika saat-saat sakaratulmaut menjelang, telah terucap di mulutnya yang mulia ‘umatku, umatku, umatku!’ Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman manapun kalian berada sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan jiwa.

Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada awalnya
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada akhirnya.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada setiap ketika.

Tatkala sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh kapal perang armada Belanda pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu, sudahpun tiba di pantai. Demi Allah, yang hidup dan matiku hanyalah di tangan-Nya, sedikitpun aku tidak berasa gentar, apatah lagi untuk berundur walau seinci pun ke belakang kerana kuyakini Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji janji-Nya dan panji kebenaran-Nya. Biarlah luka di dada jangan luka di belakang.

Rencana si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila mereka dapat masuk menyelinap ke dalam kubuku, merampas pemurasku yang disandarkan ke dinding, maka ketika itu sampailah ilham daripada Allah kepadaku. Bahawa aku kini hanya ada sebilah badik tersisip di pinggang dan hijap yang terangkat antara aku dengan Tuhanku. Seraya langsung aku memanjatkan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku telah dizalimi dan dikhianati. Aku bentangkan ke hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan segala fakir dan hina diriku, Engkau jadikanlah warkahku ini terhijab daripada pandangan mata setiap munafik dan musuh-musuhku serta Engkau peliharakanlah warkahku ini hingga sampai ke hujung zaman agar dapat dibaca dan ditilik oleh anak cucu cicit kami pada kemudian hari.

“Ya Allah. Tidak sampai hati mahu kupinta celaka untuk segolongan Melayu yang bersubahat dengan penjajah itu. Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu. Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah. Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa.”

Tatkala itu munafik-munafik itu mahu menangkap aku yang masih bertimpuh di atas sejadah. Namun demikian dengan kuasa Allah Taala segala sendi pada tubuh mereka, terkunci kaku seperti patung adanya. Maka bingkaslah aku daripada duduk lalu aku pandang satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah, peluru perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang. Tiada gunanya lagi kata-kata kerana perut tidak bertelinga. Sesudah itu berjalanlah aku menuju ke muka kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah laknatullah itu pada pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari. Syarak yang mengata, adat yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan Dalilul Khairat di tangan kiri, lidahku berwiridkan selawat.

Bammm!!!

Bunyi bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal Belanda yang muncungnya dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara. Ah! Sungguh beruntung pengkhianat itu kerana dapat menyaksikan lagi kuasa Allah apabila peluru lela rentaka meletup di dalam lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah askar Belanda berselerak di atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam laut. Beranak pinaklah pula bunga-bunga api membakar kapal perang itu. Panglima Perang Belanda Peter van Braam nyatalah amatlah terkejut adanya. Bertambah maraklah lagi semangat jihad yang menjulang-julang dalam dada pejuang-pejuang Melayu. Bertambah amuklah mereka hingga berkecamuk barisan penembak pasukan askar Belanda itu.

Lantas bertafakurlah aku apabila melihat keadaan itu. Aku berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menetapkan apa jua keputusan-Nya. Beberapa ketika kemudian dapatlah aku ilham daripada-Nya seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu seluruh jiwa dan ragaku. Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada kehormatanku dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh penjajah laknat ini setelah ditipudayakan oleh petualang daripada bangsa kami sendiri.” Arakian Panglima Perang Belanda itu sendiri segera menyalakan sumbu ubat bedil meriam lela rentaka yang muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.
Bammm!!!

Maka sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada dadaku.
Jasadku rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka terpinga-pingalah para munafik dan petualang apabila melihat askar penjajah memijak-mijak batang tubuhku, membakar al-Quran dan Dalilul Khairat. Badikku pula dilemparkan ke dalam laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah masyghulku, tetapi seketika itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah tanda-tanda doaku yang telah dimakbulkan Allah.

GLOSSARI:
• Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja = Orang yang serba salah kerana melanggar perjanjian.
• Bagai mengepal pasir yang kering = Kesukaran menyatukan perbezaan pandangan tahu di angin turun naiknya, tahu tentang alamat tentang peristiwa yang bakal terjadi.
• Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah = Yakin maksud tercapai.
• Ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait = Halangan dan rintangan dalam sesuatu usaha.
• Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga = Dalam zaman kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari keuntungan.
• Sudah ada biduk, tetapi serempu pula = Berebut kuasa.
• Menuntut piutang lapuk = Melakukan sesuatu yang sia-sia.
• Itik bertaji = Sangat penakut tetapi sombong.
• Keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya = Perbuatan yang pandir.
• Biarlah luka di dada jangan luka di belakang = Biar alah kerana melawan jangan alah kerana melarikan diri.
• Peluru perak pemecah kubu yang kuat = Kerana duit semuanya dibongkarkan
• Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang = Tipu muslihat yang tersembunyi demi mencari keuntungan diri.
• Perut tidak bertelinga = Nasihat yang tidak akan diturutkan
• Syarak yang mengata, adat yang memaksa = Syarak dan adat tidak dapat dipisahkan
• Pecahlah kapi, putuslah suai = Sesuatu yang tidak dapat dibaiki lagi (sejarah) dan menanggung malu teramat sangat.

Saturday 7 January 2012

Perbandingan Islam dan Demokrasi

Ramai yang meminta saya menulis mengenai Demokrasi dari sudut pandangan saya, menilai perbezaannya dengan Islam, kesannya serta bagaimana seharusnya sikap umat Islam dalam menangani demokrasi. Saya hargai permintaan tersebut dan menurut pengamatan saya ini merupakan isyarat besar yang terbit dari sikap masyarakat yang semakin peka dengan segala perkara dan fahaman yang menjadi amalan yang mempengaruhi kehidupan mereka.

Isyarat ini juga saya jadikan kayu ukur atau penanda aras tahap kesedaran yang sudah wujud pada sebilangan besar masyarakat dunia yang sudah dapat merasakan betapa bahayanya idea atau fahaman Demokrasi ini. Satu fahaman yang sebenarnya hanya mengundang lebih banyak kerosakan dan kemudaratan berbanding kebaikan. Apatah lagi apabila Demokrasi digandingkan dengan Kapitalisme. Semakin besar kerosakan yang dilakukannya.

Alhamdulillah, kini sudah semakin ramai yang menyedari bahawa dunia sedang berada diambang kehancuran akibat mengamalkan fahaman dan sistem tersebut.

Demokrasi sebagaimana yang telah dimaklumi ramai berasal dari dua perkataan Yunani iaitu Demos dan Kratos. Demos membawa maksud masyarakat, bangsa atau rakyat sementara Kratos pula membawa maksud kuasa. Ini bererti bahawa perkataan Demokratos itu membawa maksud Kuasa Rakyat 
.
Demokrasi sebenarnya tidak mempunyai satu definasi yang tepat yang bolih disepakati dan diterima secara universal. Walau bagaimanapun, kebebasan dan kesaksamaan telah dikenal pasti sebagai karakter atau ciri-ciri penting dalam Demokrasi sejak sekian lama. Prinsip ini diperlihatkan pada setiap warga yang mempunyai hak yang sama dihadapan undang-undang.

Menurut beberapa teori mengenai Demokrasi, mewujudkan sebuah kedaulatan atau kerajaan yang popular adalah merupakan prinsip asas kepada sistem tersebut. Prinsip asas Demokrasi juga dizahirkan sebagai kebebasan untuk memperjuangkan sesuatu yang belum wujud sebelumnya untuk menjadi realiti atau sesuatu yang sebelumnya tidak dibenarkan dan mungkin tidak diketahui.

Kebebasan seperti ini dihubung-kaitkan dengan proses untuk melahirkan atau mewujudkan manusia ataupun kemampuan untuk memulakan sesuatu yang baru dengan melihat demokrasi tidak hanya sebagai sebuah sistem politik tetapi sebuah idealisme, sebuah inspirasi, sebuah realiti yang berkait rapat dan bergantung kepada gambaran mengenai kewajarannya untuk menjadi manusia atau bagaimana sewajarnya manusia itu perlu untuk menjadi sebenar-benar manusia. Kewajaran tanpa batasan yang digalas sebagai hak asasi manusia dan dipandu oleh hawa nafsu yang senantiasa menuruti kehendak dan kemahuan manusia.

Lebih mengerunkan apabila Demokrasi berada ditangan umat Islam, ramai yang beranggapan bahawa Demokrasi mempunyai banyak persamaan dengan Islam. Benarkah begitu ? Sekiranya benar sekali pun namun pada hakikatnya Islam tetap Islam dan Demokrasi tetap Demokrasi kerana jurang perbezaannya juga sangat besar. Begitu juga dengan kesan dan akibat yang terhasil daripada pengamalannya.

Islam adalah agama wahyu. Islam adalah aqidah, syarak dan akhlak. Islam adalah agama yang sempurna dan komprehensif. Mendaulatkan syariat Islam dalam semua aspek kehidupan bererti kita telah mendaulatkan Allah SWT. Pemilik dan Penguasa yang mutlak terhadap alam ini dan seluruh penghuninya. Dan ini bertepatan dengan prinsip keadilan didalam Islam yang menegaskan bahawa keadilan itu adalah meletakkan yang hak diatasnya.

Sementara Demokrasi pula adalah sistem yang mendaulatkan rakyat yang pada hakikatnya adalah hamba Allah SWT tetapi telah dipertuankan dan diberikan hak untuk menggubal dan membentuk undang-undang dan peraturannya sendiri. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan kerana meletakkan sesuatu bukan diatas tempatnya. Hamba yang seharusnya sujud dan patuh kepada Tuhannya kini menjadi menjadi Tuan dan bertindak mengatur kehidupannya menurut kehendak dan kemahuannya berasaskan kepada kewajaran tanpa batasan.

Demokrasi walaupun lantang dengan slogan ‘dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat’ dan kelihatan seolah-olah memperjuangkan kepentingan dan kebajikan segenap lapisan rakyat namun dari segi amalannya ianya sekadar mempromosi dan memperjuangkan kepentingan golongan tertentu yang memiliki pengaruh keatas pembuat dasar dan keputusan sahaja. Sering berlaku undang-undang dan peraturan yang digubal menafikan kepentingan umum. 

Dibawah ini diperturunkan serba ringkas beberapa perbezaan besar dan ketara antara Islam dan Demokrasi sekadar untuk dijadikan renungan. Untuk kefahaman yang lebih mendalam saya mohon para pembaca dapat meluaskan lagi pembacaan dan melakukan kajian dengan lebih mendalam lagi :-

1. Sumber - Islam adalah agama dari Allah SWT yang Maha agung dan bersifat sempurna. Tuhan yang menjadikan tujuh petala bumi dan tujuh petala serta barang yang ada diantara keduanya. Islam diturunkan secara wahyu kepada Nabi Muhamad Rasulullah SAW dengan perantaraan melalui malaikat Jibrail. Manakala sumber Demokrasi pula adalah ideologi manusia yang bersifat lemah dan tidak sempurna.

2. Pedoman – Al-Quran dan As-Sunnah adalah sumber rujukan dan pedoman kepada syariat Islam manakala Demokrasi pula kepada undang-undang dan peraturan buatan manusia.

3. Pembuat Hukum – Dalam Islam Allah SWT yang membuat hukum dalam syariat Islam sementara dalam Demokrasi, majoriti wakil rakyat yang membuat hukum.

4. Hukum – Islam menghukum melalui syariat Islam. Demokrasi pula menghukum melalui undang-undang yang telah disepakati oleh majoriti wakil rakyat.

5. Sifat Hukum – Syariat Islam sifatnya kekal dan stabil. Tidak berubah-ubah semenjak seribu empat ratus tahun dahulu. Manakala Demokrasi pula hukumnya berubah-ubah menurut kehendak dan kemahuan majoriti wakil rakyat.

6. Penghapusan Hukum – Tidak ada penghapusan hokum dalam Islam. Dalam amalan Demokrasi sesuatu hokum itu bolih dimansuhkan atau dihapuskan menurut kehendak dan kemahuan majoriti wakil rakyat.

7. Perubahan Hukum – Walaupun hokum dalam syariat Islam itu sifatnya kekal namun ia tidak statik. Perubahan dibenarkan sekiranya wujud keadaan darurat (keadaan yang merbahaya dan bolih membawa maut). Contohnya seperti hukum memakan daging Babi. Hukumnya adalah haram namun dibenarkan sekiranya wujud keadaan darurat. Kelongaran yang diberikan tidak mengubah hakikat bahawa hukum memakan daging Babi adalah tetap haram. Dalam Demokrasi hukum sentiasa berubah-ubah menurut kehendak dan kemahuan majoriti wakil rakyat.

8. Pengambilan Hukum – Dalam Islam hukum diambil berdasarkan dalil syar’I yang terkuat. Sekiranya berlaku khilaf atau keraguan maka pendapat majoriti ahli-ahli Fukaha (pakar dalam bidang ilmu Fekah) atau keputusan imam/khalifah diutamakan. Manakala dalam Demokrasi hukum ditentukan oleh majoriti wakil rakyat.

9. Penyelesaian Masalah – Islam mengamalkan musyawarah sebagai kaedah untuk menyelesaikan masalah dengan membentuk majlis syura. Demokrasi pula mengunakan kaedah undi atau pungutan suara dalam mencari jalan penyelesaian. 

Antara amalan-amalan Demokrasi yang mendatangkan kesan buruk dalam masyarakat adalah :-

1. Satu orang satu undi – Mencerminkan hak persamaan dalam demokrasi. Namun, memberikan hak bersuara yang sama kepada setiap orang jelas menafikan prinsip keadilan. Mana mungkin kita samakan antara orang pandai dan orang bodoh. Orang tua dan orang muda. Orang jahat dan orang baik. Orang kaya dan orang miskin. Ini akan menyebabkan ketidak-seimbangan dalam masyarakat. Amalan ini menyebabkan munculnya berbagai gerakan yang memperjuangkan hak persamaan. 
Sebagai contoh gerakan feminisme yang menuntut hak persamaan gender supaya tidak wujud perbezaan antara lelaki dan perempuan dengan alasan berlaku diskriminasi gender dikalangan masyarakat.

2. Kebebasan bersuara – Amalan ini menumbuhkan fahaman bahawa semua orang berhak bersuara dan memberikan pendapat. Dan pendapat mereka perlu dihormati. Ini menyebabkan timbulnya berbagai-bagai spekulasi dan persepsi negatif yang mengelirukan. Mereka mengeluarkan pendapat tanpa mengambil kira kepentingan umum dan tanpa dalil serta fakta yang jelas. Semuanya berlaku atas nama kebebasan bersuara.

3. Kebebasan berekspresi – Amalan ini pula menyebabkan wujudnya perhimpunan dan perarakkan dijalanan atau amalan demontrasi yang sering menganggu ketenteraman awam. Banyak kes yang berlaku, perhimpunan dan perarakkan yang pada mulanya dijalankan secara aman bertukar menjadi ganas. Perhimpunan dan perarakan liar ini adakalanya mampu menggulingkan sebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat. Tindakan yang tidak mencerminkan prinsip-prinsip demokrasi sama sekali namun disahkan dan diterima kerana menguntungkan golongan yang berkepentingan.

Terlalu banyak kesan buruk yang timbul akibat dari amalan demokrasi yang tidak terkawal. Kesannya dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan seperti dalam politik, ekonomi, kewangan, pendidikan, sukan, kemasyarakatan dan juga alam sekitar. Dan yang paling menyedihkan, elemen-elemen demokrasi juga dapat dilihat dalam amalan yang bersifat keagamaan.

Dalam kontek Malaysia, kebebasan melampau dalam amalan demokrasi masih agak terkawal. Kawalan ini dapat dilakukan atas kapasiti Malaysia sebagai sebuah Negara yang telah menjadikan Islam sebagai agama resmi. Atas dasar tersebut, pandangan dari sudut Islam tetap diambil kira dalam segala hal.

Sebagai umat Islam kita perlu berhati-hati dalam mengamalkan demokrasi. Kita seharusnya mengetahui bahawa amalan demokrasi bolih menyebabkan kita menjadi kufur dan terkeluar dari akidah Islamiyah. Kita hanya dibenarkan terlibat dalam demokrasi atas dasar darurat dan sekadar untuk memastikan bahawa umat Islam tidak dizalimi dan untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih besar daripada menimpa umat Islam.

Sebagai umat Islam kita harus sentiasa mempunyai iktikad dan iltizam yang kuat untuk mendaulahkan syariat Islam suatu hari nanti. Kita harus terus berusaha tanpa rasa jemu dan putus asa. Insyaallah, janji Allah SWT sudah semakin hampir.