Saturday 7 January 2012

Perbandingan Islam dan Demokrasi

Ramai yang meminta saya menulis mengenai Demokrasi dari sudut pandangan saya, menilai perbezaannya dengan Islam, kesannya serta bagaimana seharusnya sikap umat Islam dalam menangani demokrasi. Saya hargai permintaan tersebut dan menurut pengamatan saya ini merupakan isyarat besar yang terbit dari sikap masyarakat yang semakin peka dengan segala perkara dan fahaman yang menjadi amalan yang mempengaruhi kehidupan mereka.

Isyarat ini juga saya jadikan kayu ukur atau penanda aras tahap kesedaran yang sudah wujud pada sebilangan besar masyarakat dunia yang sudah dapat merasakan betapa bahayanya idea atau fahaman Demokrasi ini. Satu fahaman yang sebenarnya hanya mengundang lebih banyak kerosakan dan kemudaratan berbanding kebaikan. Apatah lagi apabila Demokrasi digandingkan dengan Kapitalisme. Semakin besar kerosakan yang dilakukannya.

Alhamdulillah, kini sudah semakin ramai yang menyedari bahawa dunia sedang berada diambang kehancuran akibat mengamalkan fahaman dan sistem tersebut.

Demokrasi sebagaimana yang telah dimaklumi ramai berasal dari dua perkataan Yunani iaitu Demos dan Kratos. Demos membawa maksud masyarakat, bangsa atau rakyat sementara Kratos pula membawa maksud kuasa. Ini bererti bahawa perkataan Demokratos itu membawa maksud Kuasa Rakyat 
.
Demokrasi sebenarnya tidak mempunyai satu definasi yang tepat yang bolih disepakati dan diterima secara universal. Walau bagaimanapun, kebebasan dan kesaksamaan telah dikenal pasti sebagai karakter atau ciri-ciri penting dalam Demokrasi sejak sekian lama. Prinsip ini diperlihatkan pada setiap warga yang mempunyai hak yang sama dihadapan undang-undang.

Menurut beberapa teori mengenai Demokrasi, mewujudkan sebuah kedaulatan atau kerajaan yang popular adalah merupakan prinsip asas kepada sistem tersebut. Prinsip asas Demokrasi juga dizahirkan sebagai kebebasan untuk memperjuangkan sesuatu yang belum wujud sebelumnya untuk menjadi realiti atau sesuatu yang sebelumnya tidak dibenarkan dan mungkin tidak diketahui.

Kebebasan seperti ini dihubung-kaitkan dengan proses untuk melahirkan atau mewujudkan manusia ataupun kemampuan untuk memulakan sesuatu yang baru dengan melihat demokrasi tidak hanya sebagai sebuah sistem politik tetapi sebuah idealisme, sebuah inspirasi, sebuah realiti yang berkait rapat dan bergantung kepada gambaran mengenai kewajarannya untuk menjadi manusia atau bagaimana sewajarnya manusia itu perlu untuk menjadi sebenar-benar manusia. Kewajaran tanpa batasan yang digalas sebagai hak asasi manusia dan dipandu oleh hawa nafsu yang senantiasa menuruti kehendak dan kemahuan manusia.

Lebih mengerunkan apabila Demokrasi berada ditangan umat Islam, ramai yang beranggapan bahawa Demokrasi mempunyai banyak persamaan dengan Islam. Benarkah begitu ? Sekiranya benar sekali pun namun pada hakikatnya Islam tetap Islam dan Demokrasi tetap Demokrasi kerana jurang perbezaannya juga sangat besar. Begitu juga dengan kesan dan akibat yang terhasil daripada pengamalannya.

Islam adalah agama wahyu. Islam adalah aqidah, syarak dan akhlak. Islam adalah agama yang sempurna dan komprehensif. Mendaulatkan syariat Islam dalam semua aspek kehidupan bererti kita telah mendaulatkan Allah SWT. Pemilik dan Penguasa yang mutlak terhadap alam ini dan seluruh penghuninya. Dan ini bertepatan dengan prinsip keadilan didalam Islam yang menegaskan bahawa keadilan itu adalah meletakkan yang hak diatasnya.

Sementara Demokrasi pula adalah sistem yang mendaulatkan rakyat yang pada hakikatnya adalah hamba Allah SWT tetapi telah dipertuankan dan diberikan hak untuk menggubal dan membentuk undang-undang dan peraturannya sendiri. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan kerana meletakkan sesuatu bukan diatas tempatnya. Hamba yang seharusnya sujud dan patuh kepada Tuhannya kini menjadi menjadi Tuan dan bertindak mengatur kehidupannya menurut kehendak dan kemahuannya berasaskan kepada kewajaran tanpa batasan.

Demokrasi walaupun lantang dengan slogan ‘dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat’ dan kelihatan seolah-olah memperjuangkan kepentingan dan kebajikan segenap lapisan rakyat namun dari segi amalannya ianya sekadar mempromosi dan memperjuangkan kepentingan golongan tertentu yang memiliki pengaruh keatas pembuat dasar dan keputusan sahaja. Sering berlaku undang-undang dan peraturan yang digubal menafikan kepentingan umum. 

Dibawah ini diperturunkan serba ringkas beberapa perbezaan besar dan ketara antara Islam dan Demokrasi sekadar untuk dijadikan renungan. Untuk kefahaman yang lebih mendalam saya mohon para pembaca dapat meluaskan lagi pembacaan dan melakukan kajian dengan lebih mendalam lagi :-

1. Sumber - Islam adalah agama dari Allah SWT yang Maha agung dan bersifat sempurna. Tuhan yang menjadikan tujuh petala bumi dan tujuh petala serta barang yang ada diantara keduanya. Islam diturunkan secara wahyu kepada Nabi Muhamad Rasulullah SAW dengan perantaraan melalui malaikat Jibrail. Manakala sumber Demokrasi pula adalah ideologi manusia yang bersifat lemah dan tidak sempurna.

2. Pedoman – Al-Quran dan As-Sunnah adalah sumber rujukan dan pedoman kepada syariat Islam manakala Demokrasi pula kepada undang-undang dan peraturan buatan manusia.

3. Pembuat Hukum – Dalam Islam Allah SWT yang membuat hukum dalam syariat Islam sementara dalam Demokrasi, majoriti wakil rakyat yang membuat hukum.

4. Hukum – Islam menghukum melalui syariat Islam. Demokrasi pula menghukum melalui undang-undang yang telah disepakati oleh majoriti wakil rakyat.

5. Sifat Hukum – Syariat Islam sifatnya kekal dan stabil. Tidak berubah-ubah semenjak seribu empat ratus tahun dahulu. Manakala Demokrasi pula hukumnya berubah-ubah menurut kehendak dan kemahuan majoriti wakil rakyat.

6. Penghapusan Hukum – Tidak ada penghapusan hokum dalam Islam. Dalam amalan Demokrasi sesuatu hokum itu bolih dimansuhkan atau dihapuskan menurut kehendak dan kemahuan majoriti wakil rakyat.

7. Perubahan Hukum – Walaupun hokum dalam syariat Islam itu sifatnya kekal namun ia tidak statik. Perubahan dibenarkan sekiranya wujud keadaan darurat (keadaan yang merbahaya dan bolih membawa maut). Contohnya seperti hukum memakan daging Babi. Hukumnya adalah haram namun dibenarkan sekiranya wujud keadaan darurat. Kelongaran yang diberikan tidak mengubah hakikat bahawa hukum memakan daging Babi adalah tetap haram. Dalam Demokrasi hukum sentiasa berubah-ubah menurut kehendak dan kemahuan majoriti wakil rakyat.

8. Pengambilan Hukum – Dalam Islam hukum diambil berdasarkan dalil syar’I yang terkuat. Sekiranya berlaku khilaf atau keraguan maka pendapat majoriti ahli-ahli Fukaha (pakar dalam bidang ilmu Fekah) atau keputusan imam/khalifah diutamakan. Manakala dalam Demokrasi hukum ditentukan oleh majoriti wakil rakyat.

9. Penyelesaian Masalah – Islam mengamalkan musyawarah sebagai kaedah untuk menyelesaikan masalah dengan membentuk majlis syura. Demokrasi pula mengunakan kaedah undi atau pungutan suara dalam mencari jalan penyelesaian. 

Antara amalan-amalan Demokrasi yang mendatangkan kesan buruk dalam masyarakat adalah :-

1. Satu orang satu undi – Mencerminkan hak persamaan dalam demokrasi. Namun, memberikan hak bersuara yang sama kepada setiap orang jelas menafikan prinsip keadilan. Mana mungkin kita samakan antara orang pandai dan orang bodoh. Orang tua dan orang muda. Orang jahat dan orang baik. Orang kaya dan orang miskin. Ini akan menyebabkan ketidak-seimbangan dalam masyarakat. Amalan ini menyebabkan munculnya berbagai gerakan yang memperjuangkan hak persamaan. 
Sebagai contoh gerakan feminisme yang menuntut hak persamaan gender supaya tidak wujud perbezaan antara lelaki dan perempuan dengan alasan berlaku diskriminasi gender dikalangan masyarakat.

2. Kebebasan bersuara – Amalan ini menumbuhkan fahaman bahawa semua orang berhak bersuara dan memberikan pendapat. Dan pendapat mereka perlu dihormati. Ini menyebabkan timbulnya berbagai-bagai spekulasi dan persepsi negatif yang mengelirukan. Mereka mengeluarkan pendapat tanpa mengambil kira kepentingan umum dan tanpa dalil serta fakta yang jelas. Semuanya berlaku atas nama kebebasan bersuara.

3. Kebebasan berekspresi – Amalan ini pula menyebabkan wujudnya perhimpunan dan perarakkan dijalanan atau amalan demontrasi yang sering menganggu ketenteraman awam. Banyak kes yang berlaku, perhimpunan dan perarakkan yang pada mulanya dijalankan secara aman bertukar menjadi ganas. Perhimpunan dan perarakan liar ini adakalanya mampu menggulingkan sebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat. Tindakan yang tidak mencerminkan prinsip-prinsip demokrasi sama sekali namun disahkan dan diterima kerana menguntungkan golongan yang berkepentingan.

Terlalu banyak kesan buruk yang timbul akibat dari amalan demokrasi yang tidak terkawal. Kesannya dapat dilihat dalam semua aspek kehidupan seperti dalam politik, ekonomi, kewangan, pendidikan, sukan, kemasyarakatan dan juga alam sekitar. Dan yang paling menyedihkan, elemen-elemen demokrasi juga dapat dilihat dalam amalan yang bersifat keagamaan.

Dalam kontek Malaysia, kebebasan melampau dalam amalan demokrasi masih agak terkawal. Kawalan ini dapat dilakukan atas kapasiti Malaysia sebagai sebuah Negara yang telah menjadikan Islam sebagai agama resmi. Atas dasar tersebut, pandangan dari sudut Islam tetap diambil kira dalam segala hal.

Sebagai umat Islam kita perlu berhati-hati dalam mengamalkan demokrasi. Kita seharusnya mengetahui bahawa amalan demokrasi bolih menyebabkan kita menjadi kufur dan terkeluar dari akidah Islamiyah. Kita hanya dibenarkan terlibat dalam demokrasi atas dasar darurat dan sekadar untuk memastikan bahawa umat Islam tidak dizalimi dan untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih besar daripada menimpa umat Islam.

Sebagai umat Islam kita harus sentiasa mempunyai iktikad dan iltizam yang kuat untuk mendaulahkan syariat Islam suatu hari nanti. Kita harus terus berusaha tanpa rasa jemu dan putus asa. Insyaallah, janji Allah SWT sudah semakin hampir.

6 comments:

  1. alhamdulillah..ada hamba Allah yg mampu hasilkan artikel ni..teruskan..

    ReplyDelete
  2. cerita panjang2...tp 1 firman Allah pun xda...syok sendiri tanpa berlandaskan firman...

    ReplyDelete
  3. Dalam pandangan saya:

    Demokrasi adalah suatu kondisi sosial yang menginginkan Civilian-supremacy, namun kebenaran yang dicapai melalui demokrasi bukanlah KEBENARAN DOGMATIS.

    Kalau Islam itu ajaran yang membentuk nilai-nilai pada individu (ethic) dan lebih luas lagi menjadi norm society.

    Demokrasi masih dalam bentuk yang absrtak intinya civilian-supremacy, bukan monarki. Saya setuju dengan penulis yang mengatakan:

    "Demokrasi sebenarnya tidak mempunyai satu definasi yang tepat yang bolih disepakati dan diterima secara universal"

    memang benar, karena hampir semua negara menyebut pemerintahannya Democratic namun dengan cara yang berbeda-beda.


    Salam dari Jakarta

    ReplyDelete
  4. Ambil artikel ni daripada Worldbaitulmal kan?

    Kita tidak perlu berhati-hati dalam mengamalkan demokrasi... tetapi kita perlu berhati-hati dalam belenggu demokrasi agar kita semua makin cepat terkeluar dari sistem ini...

    Tidak pernah tertegak daulah Islamiyah melalui demokrasi..
    Tidak pernah wujud keadilan melalui demokrasi...

    PRU 13 merupakan satu signifikan dalam berakhirnya demokrasi....

    Wasalam...

    ReplyDelete
  5. A'kum semua..terima kasih atas segala respond..kita perlu berganding bahu bersama sama untuk menyedarkan umat islam/melayu tentang terperangkapnya kita didalam sistem Demokrasi ini.Saudara saudari seislam dan sebangsa kita seolah olah sudah di "Mind Control" oleh sistem ini.Cabaran besar menanti kita untuk sama sama menyedarkan saudara saudara seagama dan sebangsa kita untuk kembali kepada Daulah Islamiyah sebelum Demokrasi terus memporak porandakan dan menyebabkan permusuhan yang lebih teruk dikalangan umat islam/melayu.

    Daripada Tanah Arab "Nur Muhammad" dan Islam itu dibawa ke Tanah Melayu...Daripada Tanah Melayu "Nur Muhammad" dan Islam itu dibawa kembali ke Tanah Arab

    ReplyDelete
  6. Wassalam,

    Dalam konteks negara Malaysia yg mengamalkan Demokrasi Berpelembagaan terpaksalah kita mengambil bahagian dalam pilihanraya walaupun menyedari ianya tidak selari dgn kehendak syariat. Walaubagaimanapun, sekiranya keseluruhan rakyat Islam di Malaysia benar-benar menyokong Islam, pilih lah parti yg lebih dekat dan mengamalkan Islam.

    Insya Allah dengan majoriti yang demikian, kita upaya dan mampu menukar perlembagaan negara yg berlandaskan kepada Suruhanjaya Lord Reid kepada perlembagaan Islam yg sebenar seterusnya Daulah Islamiyah itu dapt dilaksanakan.

    ReplyDelete